Mawan Pengerusi Lembaga Lada Malaysia

Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Ahmad Hamzah sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Tan Sri William Mawan Ikom, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia (MPB).

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Kiong, berkata pelantikan Ahmad berkuat kuasa mulai 1 September lalu hingga 31 Ogos 2018, manakala pelantikan William pula berkuat kuasa 16 Ogos lalu hingga 15 Ogos 2018.

"Mereka masing-masing menggantikan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, yang terkorban dalam nahas helikopter di Sarawak dan Datuk Henry Sum Agong, yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Ahmad adalah bekas Pengerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) selama 15 tahun, menjadi Pengerusi Caucus Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA), yang ditandatangani kerajaan pada 4 Februari lalu dan juga Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"William pula adalah mantan Menteri Pembangunan Sosial Sarawak. Beliau pernah menyandang jawatan Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak. Saya yakin pelantikan baharu ini dapat merancakkan pembangunan kedua-dua sektor komoditi terbabit," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Siew Keong berkata, sektor komoditi menyumbang 15 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport negara pada tahun lalu dengan nilai RM117.1 bilion dan industri sawit adalah penyumbang terbesar dengan nilai RM63.2 bilion pada 2015.

Sementara itu, keluasan tanaman lada negara pada tahun lalu adalah 16,426 hektar dengan pengeluaran 28,300 tan dan Sarawak adalah pengeluar terbesar menghasilkan 98 peratus lada negara.

Kementerian itu meletakkan sasaran meningkatkan kawasan tanaman lada kepada 20,000 hektar menjelang tahun 2020 dengan hasil 43,000 tan setahun. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA