Masih Bujang, Azhan Rani Tak Tertekan Soal Kahwin


Pelakon Azhan Rani memberitahu tidak berasa tertekan untuk menamatkan zaman bujangnya kerana merasakan pada usianya sekarang ia bukan satu keutamaan.

Azhan, 40, berkata, pada tahap sekarang dia ingin memberi fokus kepada karier lakonannya selain menjaga ibunya sejak bapanya, Abdul Rani Sabri meninggal dunia pada 21 Ogos lalu.

"Berfikir tentang soal itu memang ada kerana siapa yang tidak mahu berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri?

"Bagaimanapun pada usia saya sekarang ia tidak lagi menjadi keutamaan dan saya banyak menyibukkan diri dengan kerja tambahan pula baru-baru ini bapa meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi penyakit.

"Selain lakonan kini saya lebih banyak memberi tumpuan kepada ibu saya selepas kematian bapa," katanya kepada mStar Online.

Dalam pada itu, Azhan mengakui sebelum ini dia pernah beberapa kali menjalinkan hubungan cinta namun ia tidak berakhir dengan perkahwinan.

Katanya lagi, dia tidak berasa kecewa kerana jodohnya lambat kerana yakin Allah mempunyai aturan lebih baik untuknya.

"Pernah ada teman wanita sebelum ini namun ia tidak berakhir dengan baik namun saya percaya tentang jodoh ini Insya-Allah pasti akan ada suatu hari nanti.

"Walaupun saya kata ia tidak lagi menjadi keutamaan tetapi kita tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Azhan berkata, bagi mengisi masa terluang dia aktif mengayuh basikal sebagai hobi dan terapi diri.

Katanya, dia mula aktif dengan sukan berkenaan sejak dua tahun lalu dan dalam tempoh itu dia telah pun menjelajah ke seluruh Malaysia.

"Sebenarnya berbasikal ini hobi tidak sengaja namun lama-kelamaan saya mula menyukainya dan kebiasaannya saya boleh mengayuh hingga 40 kilometer sehari.

"Alhamdulillah saya juga berkesempatan menjelajah seluruh Malaysia hanya dengan berbasikal memandangkan kerjaya sebagai lakonan membawa saya ke pelbagai tempat.

"Apabila mempunyai masa lapang dan tiada penggambaran saya akan berbasikal dan tahu-tahu saya sudah mengayuh ke seluruh negara," ujarnya.

Malah kata Azhan, setiap kali dia pulang melawat ibunya di Kuala Kubu Baru, Selangor dia akan berbasikal daripada rumahnya di Selayang, dekat sini.

Dalam perkembangan lain, Azhan berkata dia baharu sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri terbaharu berjudul Samudera Rindu untuk siaran TV9.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA