Masalah Kesihatan Mental Di Malaysia Membimbangkan


PUTRAJAYA: Kira-kira 30 peratus atau 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah kesihatan mental. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata statistik menunjukkan seorang dalam kalangan tiga penduduk di negara ini mempunyai masalah berkait rapat dengan isu mental.

Katanya, ia berpunca daripada beberapa faktor, antaranya masalah kewangan, pengangguran, tekanan kerja dan masalah keluarga seperti perceraian.

"Masalah mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, namun kajian menunjukkan paling tinggi membabitkan golongan berpendapatan rendah dan kelompok berumur 16 hingga 19 tahun.

"Secara jujurnya, saya turut terkejut dengan peratusan berkenaan tetapi apabila diteliti, memang ia benar dan masalah ini semakin membimbangkan," katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Dr Subramaniam berkata, pihaknya sudah melaksanakan pelbagai strategi pencegahan termasuk kempen promosi kesihatan mental, saringan dan pencegahan, program memperkasakan masyarakat bagi menangani tekanan serta melaksanakan bantuan asas psikologi semasa krisis.

Mengenai kepakaran bagi mengendalikan masalah itu, beliau berkata, ketika ini nisbah adalah seorang pakar psikiatri bagi setiap 100,000 pesakit. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA