Malbatt 850-4 Tiba Di Lubnan


BEIRUT: Batalion Malaysia (Malbatt) 850-4 tiba di Kem Ma'rakah, Tyre, pada Khamis, kira-kira 80 km dari Beirut untuk misi keamanan di Lubnan.

Sejumlah 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama yang diketuai Komander Malbatt 850-4, Kolonel Nazim Mohd. Alim, tiba di kem itu pada pukul 3 pagi Khamis waktu tempatan yang terletak kira-kira 30 km dari sempadan Israel.

Kumpulan itu akan meneruskan tradisi kecemerlangan untuk menyambung misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil) dan menggantikan kumpulan Malbatt 850-3 yang dijadual pulang ke Kuala Lumpur secara berperingkat.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Johari Baharum mengiringi kumpulan itu bersama Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mejar Jen. Datuk Mohd. Ramli Jaafar serta pegawai-pegawai kanan kementerian.
Mereka berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada 5 petang semalam.

Selepas perjalanan udara hampir 10 jam, kumpulan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Rafic Hariri Beirut di sini sebelum dibawa menaiki bas yang memerlukan dua jam perjalanan darat untuk ke kem berkenaan.

Mohd. Johari ketika ditemui wartawan Bernama dan RTM berkata, misi tradisi ini yang bermula pada 2009, membuktikan pengiktirafan dan kepercayaan masyarakat antarabangsa yang berterusan terhadap kredibiliti, kewibawaan dan profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Nazim pula berharap, pasukannya yang dilengkapi dan disiapsiagakan dengan latihan untuk menghadapi apa jua keadaan itu dapat melaksanakan tugasan yang diberi dan ditetapkan piagam PBB dalam keadaan penuh berdisiplin.

Malbatt 850-4 dengan keseluruhan 850 pegawai dan anggota termasuk dua pegawai dan 28 anggota dari Anggota Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) akan diaturgerakkan ke Lubnan secara berperingkat.

Penghantaran kedua dan ketiga akan dilaksanakan pada 14 dan 20 September manakala kumpulan terakhir pada 26 September ini. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA