Malaysia Tentang Diskriminasi Terhadap Minyak Sawit


PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi akan terus menentang sebarang diskriminasi terhadap eksport minyak sawit negara ke Eropah terutama syarat meletakkan label dan percukaian bersifat berat sebelah.

Menterinya, Datuk Seri Mah Siew Kiong, berkata antara isu terbaru ialah cadangan mengenakan cukai khusus terhadap minyak sawit dalam pembentangan Rang Undang-Undang Kewangan oleh Kerajaan Perancis pada bulan depan.

"Kita cuma mahu semua pihak bersikap adil terhadap komoditi minyak sawit ini. Jika mahu kenakan cukai, lakukan kepada semua, termasuk minyak kacang soya, jangan hanya sasarkan minyak sawit saja.

"Eropah adalah pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia dan kita terpaksa bertindak jika ada usaha mendiskriminasi komoditi eksport utama negara ini semata-mata kerana saingannya kepada minyak makanan lain.

"Jangan kenakan cukai berasaskan persepsi Malaysia tidak jaga alam sekitar, memusnahkan Orang Utan atau mendakwa minyak sawit menjejaskan kesihatan," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Siew Kiong sebelum ini mengetuai misi mempromosi minyak sawit, getah dan balak ke Belgium, Perancis serta United Kingdom (UK) pada 4 hingga 10 September lalu.

Di Perancis, beliau menemui Menteri Biodiversiti Perancis, Barbara Pompili serta Menteri Perdagangan Luar, Promosi Pelancongan dan Warga Perancis di Luar Negara, Matthias Fekl, bagi membincangkan isu berbangkit berkaitan minyak sawit Malaysia.

"Saya sudah menjelaskan kepada mereka, Malaysia mematuhi konsep pengurusan hutan secara mapan, sekali gus mengelak pencemaran udara atau ancaman terhadap hidupan liar, selain menghuraikan fakta sebenar mengenai khasiat minyak sawit.

"Kita tidak mahu persepsi diwujudkan Perancis yang berasaskan fakta tidak benar terhadap minyak sawit menjadi ikutan negara Eropah lain sehingga menjejaskan eksport komoditi ini secara keseluruhan.

"Kita juga bersikap telus dengan menjemput kumpulan aktivis berkaitan minyak sawit ini datang dan melihat sendiri usaha kita.

"Namum, jika Perancis masih tidak mengendahkan usaha ini, kita juga terpaksa mengambil tindakan sewajarnya kerana negara juga mengimport banyak barangan dari Pelancis," katanya.  -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA