Malaysia Sasar Pengilang Saiz Sederhana Jerman


BERLIN (Jerman): Setelah mewujudkan hubungan kukuh dengan syarikat multinasional Jerman, Malaysia kini turut berminat menarik pengilang bersaiz sederhana, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa.

"Kami mahu lebih banyak pelaburan dari Jerman, terutama dalam bidang pertumbuhan baharu, teknologi maju, berintensif modal dan bernilai tambah tinggi, berasaskan pengetahuan, berintensif kemahiran dan industri berasaskan eksport," kata Perdana Menteri kepada peneraju perniagaan Jerman pada sesi dialog.

(Latar belakang) Kajian menunjukkan tiada negara yang mempunyai banyak peneraju pasaran global bersaiz sederhana seperti Jerman, yang mempunyai kira-kira 80.6 juta penduduk, dan merupakan ekonomi keempat terbesar dunia.

Oleh itu, perusahaan kecil dan sederhana Malaysia boleh belajar daripada mereka, terutama dari segi semangat keusahawanan, strategi kompetitif dan menerima pakai dan melakukan inovasi dalam teknologi canggih, katanya.

(Latar belakang) Berdasarkan jumlah besar syarikat berkenaan, syarikat bersaiz sederhana negara itu yang secara kolektif dikenali sebagai 'Mittelstand' merupakan tulang belakang ekonomi. Mereka melengkapkan syarikat perusahaan dan pengilang besar terkenal.

Antara syarikat yang menyertai sesi dialog berkenaan ialah Atotech, AWS Schafer, BMW, Daimler, Osram, Volkswagen, Infineon, Bombardier Transportation, Ensinger, B.Braun, Green Sugar dan Biesterfeld International.

Beliau berkata sektor perkhidmatan seperti teknologi maklumat dan komunikasi, perkhidmatan minyak dan gas, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan tinggi swasta, perkhidmatan pelancongan dan profesional, menawarkan peluang besar.

Jerman merupakan pelabur terbesar dari Kesatuan Eropah dengan jumlah projek pengilangan setakat ini sebanyak 552 dengan pelaburan sebanyak US$11.4 bilion (kira-kira RM39.6 bilion), berjaya mewujudkan lebih 63,500 pekerjaan baharu.

Syarikat terkemuka Jerman, yang sudah mempunyai kedudukan yang kukuh sejak beberapa dekad, termasuk Volkswagen, BMW, BASF, Osram, Mercedes, Audi, Deutsche Bank, Siemens AG, Bosch dan Infineon. Tahun lepas, Jerman merupakan rakan dagang ke-12 terbesar Malaysia di peringkat global, dengan jumlah dagangan dua hala bernilai US$10.3 bilion (RM35.74 bilion).

Najib, yang juga Menteri Kewangan, kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Jerman atas jemputan Canselor Angela Merkel.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Wakil Jawatankuasa Asia Pasifik bagi Perniagaan Jerman yang juga Pengerusi Lembaga Penyeliaan B.Braun Melsungen AG, Prof Datuk Seri Dr Ludwig Georg Braun dan Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datuk Zulkifli Adnan.

Selain melabur di Malaysia, Najib memberitahu para pemimpin perniagaan bahawa mereka boleh menggunakan kedudukan strategik Malaysia untuk meneroka pasaran terbesar ASEAN, yang bersedia untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia selewat-lewatnya pada 2050.

"Menerusi dasar pro-perniagaan, berhemat dan pragmatik kami, Malaysia merupakan rakan kongsi yang sesuai untuk menjalankan perniagaan di rantau ini. Kami komited untuk memastikan bahawa keperluan pelabur yang ingin menjalankan perniagaan di Malaysia dipenuhi," katanya.

Najib juga Malaysia berjaya melahirkan bintang tempatan seperti Globetronics, Inari, Unisem dan Vitrox.

"Penggiat tempatan telah meningkatkan rantaian nilai dengan menambah aktiviti penyelidikan dan pembangunan, selain menerusi penyebaran teknologi antara mereka dan rakan-rakan global. Kumpulan penggiat tempatan ini mampu untuk memenuhi permintaan ketat kedua-dua pasaran pengeluar peralatan asal dan antarabangsa," kata Perdana Menteri.

Dalam memperkukuh hubungan Malaysia-Jerman, Perdana Menteri menyuarakan minat mendalam Malaysia dalam menganjurkan Persidangan Antarabangsa Asia Pasifik bagi Perniagaan Jerman ke-16 di Kuala Lumpur pada 2018.

Mengenai rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU, Najib berkata beliau pasti mengenai sokongan Jerman untuk memulakan semula rundingan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA