Malaysia Mungkin Pertimbang Hantar Lebih Ramai Pelajar Ke Jerman



Berlin : Malaysia mungkin mempertimbangkan untuk menghantar lebih ramai pelajar ke Jerman pada masa depan untuk melanjutkan pengajian, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini.

Pada masa ini terdapat 634 pelajar Malaysia yang berdaftar di Jerman.

"Saya mengambil kira yuran pengajian adalah percuma di Jerman dan satu-satunya halangan adalah bahasa tetapi jika anda dapat menguasai tahap bahasa Jerman yang tinggi, menghantar pelajar ke Jerman adalah tindakan positif untuk dipertimbangkan.

"Saya akan usulkan dan melihat kemungkinan untuk menghantar sebahagian pelajar ke Jerman pada masa depan," katanya pada majlis makan malam bersama warga Malaysia di Jerman anjuran Kedutaan Besar Malaysia di Berlin pada Selasa.

Beliau juga memuji pelajar Malaysia yang berjaya dalam bidang pengajian mereka di sini.

"Saya bangga apabila mengetahui anda telah lakukan yang terbaik dan berbangga pelajar kita telah berjaya di Jerman," katanya.

Turut hadir pada majlis makan malam itu isteri Najib Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong dan Duta Malaysia di Jerman Datuk Zulkifli Adnan.

Najib yang juga Menteri Kewangan, menggalakkan warga Malaysia yang menetap di Jerman untuk mengamalkan nilai-nilai murni seperti disiplin serta tidak mudah berputus asa dan membawa pulang amalan ini ke Malaysia untuk membantu memacu negara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya menghargai ciri-ciri yang dimiliki rakyat Jerman yang membawa mereka menjadi satu daripada negara yang paling berjaya, antaranya, amat berdisiplin, fokus, mempunyai disiplin diri dan sikap tidak mudah berputus asa serta bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

Najib turut menyatakan pasukan bola sepak Jerman adalah contoh berpasukan yang kuat, menjadikan mereka pasukan yang sukar untuk ditewaskan dalam setiap kejohanan.

Najib berkata Jerman adalah satu pasukan yang akan menang dalam setiap kejohanan kerana 'apabila rakyat Jerman bersama-sama, ia akan menjadi sebuah pasukan yang kuat dan bersemangat'.

"Ini adalah sebahagian daripada karektor orang Jerman yang boleh diasimilasikan dalam budaya Malaysia.

"Ini adalah sebahagian daripada perkara yang kita boleh serap sebagai budaya kita. Kita boleh belajar daripada mereka, dan berada di sini, anda mesti belajar sesuatu. Apabila anda pulang ke tanah air, anda akan pulang dengan membawa sesuatu yang lebih.

"Kita boleh menjadi bangsa yang lebih kuat hasil daripada mengamalkan nilai-nilai murni itu," katanya.  - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA