Malaysia Komited Perangi Isu Pelabelan ‘Tanpa Minyak Sawit’ di Eropah


BERLIN - Malaysia bersedia untuk memerangi isu pelabelan 'tanpa minyak sawit' di rantau Eropah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini.

"Kita akan berusaha habis-habisan bertindak dengan bertemu pelbagai negara (Kesatuan Eropah)," kata beliau kepada media Malaysia pada akhir lawatan rasmi tiga hari di sini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia juga akan bekerjasama dengan Indonesia untuk berbincang dengan anggota Kesatuan Eropah bagi menangani isu-isu pelabelan tanpa minyak sawit.

Beliau berkata, Malaysia tidak boleh membiarkan negara-negara berkenaan menjejaskan prospek hasil tanaman Malaysia di rantau ini dan dengan itu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Majlis Minyak Sawit Malaysia akan berusaha mengenainya.

Menurut beberapa laporan, terdapat kira-kira 1,500 produk dengan label tiada minyak sawit di Perancis, Belgium dan Itali.

Pelabelan sedemikian boleh dikategorikan sebagai sekatan bukan perdagangan dan langkah untuk menyekat akses pasaran bagi minyak sawit.

Perdana Menteri juga mengadakan perbincangan berhubung isu yang sama dengan Canselor Jerman, Angela Merkel dalam pertemuan dua hala pada Selasa. NAJIB mengadakan perbincangan dengan Canselor Jerman, Angela Merkel dalam pertemuan dua hala pada Selasa.

Najib menjelaskan kepada beliau bahawa Malaysia mengamalkan pembangunan lestari industri sawit dan tiada dasar "tebang dan bakar".

Perdana Menteri turut mempelawa penggubal undang-undang Jerman untuk melihatnya sendiri.

Najib berkata, Merkel memberi jaminan kepada Malaysia bahawa Jerman tidak mempunyai rancangan untuk mengenakan sebarang cukai ke atas minyak sawit.

"Mereka (Jerman) juga tidak akan menyokong sebarang amalan pelabelan tanpa minyak sawit di Jerman," kata Perdana Menteri. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA