Malaysia Dijangka Capai Defisit Fiskal 3.1 Peratus Tahun Ini, Kata Johari


KUALA LUMPUR:
Malaysia dijangka dapat mencapai sasaran defisit fiskal 3.1 peratus tahun ini, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata Kementerian Kewangan terpaksa mengambil keputusan yang sukar seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi bagi manfaat jangka panjang kewangan negara.

"Dasar-dasar ini sudah tentunya tidak popular tetapi perlu terutamanya bagi memastikan defisit fiskal berada dalam sasaran," katanya kepada pemberita di luar acara Forum Khazanah Megatrends 2016, di sini, hari ini.

Johari berkata dasar-dasar ini yang bertujuan memastikan penurunan berterusan defisit bagi tahun-tahun akan datang, sukar dilaksanakan terutamanya memandangkan iklim ekonomi mencabar tahun lepas.

Laporan Ekonomi Kementerian Kewangan 2015/2016 menyatakan defisit fiskal Malaysia diunjur turun kepada RM38.8 bilion atau 3.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar tahun ini berbanding 3.2 peratus pada 2015.

Teras dasar fiskal tahun ini akan terus memberi penekanan kepada pengukuhan fiskal dengan mengurangkan lagi defisit fiskal ke arah mencapai bajet berimbang menjelang 2020.

Ditanya sama ada akan ada penurunan kadar GST yang pada enam peratus ketika ini, Johari berkata ia tidak mungkin kerana sistem cukai itu hanya diperkenalkan kurang dari dua tahun lepas.

"Kami mahu sistem (GST) dimasukkan ke dalam keseluruhan sistem perbelanjaan pengguna," katanya.

Mengenai rancangan untuk merangsang pertumbuhan negara dalam Bajet 2017 akan datang, Johari berkata, lebih RM150 bilion telah dilaburkan dalam transit aliran massa, transit aliran ringan, kereta api berkelajuan tinggi, laluan kereta api pantai timur serta Lebuh Raya Pan Borneo.

"Prasarana ini digunakan untuk merangsangkan lagi ekonomi," katanya.

Forum dua hari yang bertemakan "Geography as Destiny" itu menarik lebih 1,000 peserta tempatan dan asing. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA