Malaysia Contoh Cegah Ekstremisme - UNESCO


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) memuji Malaysia sebagai contoh kejayaan mencegah ekstremisme menerusi pendidikan.

Ketua Pengarahnya, Irina Bokova, berkata kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengambil pendirian tegas terhadap keganasan melalui keterangkuman dan pendidikan yang dianggap sebagai langkah pencegahan jangka panjang paling berkesan mengatasi ekstremisme.

Katanya, Malaysia kini menjadi peneraju di Asia Tenggara dalam memupuk pendidikan inklusif dan saksama sebagai asas pertumbuhan hijau yang mampan.

"Dengan tumpuan menyeluruh sejak awal kanak-kanak hingga peringkat universiti, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang turut menerima sentuhan nasihat UNESCO, adalah contoh terbaik bagi semua negara.

"Ia merangkumi tumpuan terhadap ekuiti dan kualiti, selain kecekapan serta kemahiran yang diperlukan untuk hidup bersama atas dasar menghormati dan persefahaman," katanya dalam kenyataan menerusi laman web pertubuhan itu, hari ini.

Bokova berkata, Malaysia membuktikan ia adalah negara yang menghormati kepelbagaian dan mendapat kepercayaan UNESCO untuk menganjurkan pelbagai program.

Katanya, ia dapat dilihat menerusi pemilihan Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Pusat Komunikasi Pintasan Mesej Digital Serantau, seiring gesaan Perdana Menteri menerusi Gerakan Kesederhanaan Global menentang Keganasan.

"Malaysia bersama Indonesia rancak menggalakkan perbincangan di seluruh negara menerusi pengajaran agama bagi menggalakkan sifat toleransi, hormat dan persefahaman bersama.

"Semangat berdialog dan keterbukaan ini selari dengan semua tindakan UNESCO dalam usaha mempromosi keamanan dan meningkatkan martabat manusia menerusi kuasa pendidikan, budaya dan sains," katanya.

Bokova berkata, dalam konteks ini, Program PERMATA Negara (PERMATA) yang ditubuhkan atas inisiatif isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menjadi contoh terbaik dalam mendidik perkembangan kanak-kanak menggunakan pendekatan holistik sejak usia awal, menggalakkan nilai keamanan, menghormati kepelbagaian budaya serta meningkatkan peluang seumur hidup untuk kanak-kanak dan remaja. - BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA