Majlis Daerah Samarahan Akan Dinaik Taraf Kepada Majlis Perbandaran


Kuching : Majlis Daerah Samarahan (MDS) akan dinaik taraf kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) pada 11 November depan menurut Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, memetik laporan UtusanBorneo.

Katanya peningkatan tersebut seiring dengan statusnya sebagai bandar baharu yang membangun dengan pantas malah ia perlu dilakukan dengan mempertingkatkan kualiti kemudahan pendidikan dan penjagaan kesihatan untuk menjadikannya benar-benar bandar ilmu dan mewah.

“Saya nampak Kota Samarahan akan menjadi kawasan perindustrian berpendapatan tinggi, maka perubahan mesti dilakukan untuk menjadikannya bandar pintar dengan majoriti penduduk tinggal di sini berpendapatan tinggi.

“Mereka terdiri daripada pensyarah, doktor dan profesional lain,” ujarnya sambil menambah ia merupakan langkah penting kerana MDS bertanggungjawab mengurus dan merancakkan lagi pembangunan di bahagian Samarahan sebagai bandar pintar.

Menurut beliau lagi, majlis menaik taraf MDS dijangka akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Apabila semuanya berjalan dengan lancar, bentuk kemudahan dan perkhidmatan lain akan menyusul seperti pelaksanaan sistem LRT (Light Rail Transit) dan sebagainya,” jelas Dr Sim.

Justeru, Kota Samarahan akan menjadi majlis perbandaran yang keempat di Sarawak selepas Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA). - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA