MAI sasar 85% EEV Diproduksi Menjelang 2020


Institut Automotif Malaysia (MAI) mensasarkan untuk meningkatkan produksi bagi kenderaan cekap tenaga (EEV) kepada 85% menjelang tahun 2020. Menurut CEO MAI, Datuk Madani Sahari, EEV dijangka mampu mengubah hala tuju industri automotif tempatan untuk menjadi hab serantau di Asia.

“Ia mampu direalisasikan kerana kami yakin untuk mencapai 40% sasaran menjelang tahun ini, dan ia menghampiri peratusan yang disasarkan menjelang 2020. Malah pusat ujian dan produksi EEV juga akan dibina di Glenmarie yang bakal diusahakan oleh sebuah syarikat tempatan dengan kerjasama syarikat-syarikat asing,” katanya kepada pihak media selepas pelancaran Malaysia Autoshow 2016 semalam.

Katanya lagi, Malaysia akan menjadi negara pertama di rantau ini yang menghasilkan EEV di bawah strategi Dasar Automotif Nasional (NAP) 2014, laporan News Strait Times.

“Model prototaip EEV pertama tersebut akan didedahkan di Malaysia Autoshow 2016 yang bakal berlangsung mulai 10 hingga 13 November ini di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC). MAI akan membuka ruang pameran untuk berkongsi visi bagi menjadikan Malaysia sebagai hab serantau dalam usaha memproduksikan EEV. Kami menjangkakan seramai 100,000 pengunjung bakal mengunjungi pameran automotif tahunan terbesar ini,” ujar Madani lagi.

Ketika ditanya tentang harga bateri EEV, Madani berkata, pelaburan bagi menghasilkan bateri secara tempatan dilakukan, sekaligus harganya boleh menjadi lebih murah daripada yang dijangka. “Bukan sahaja bateri yang akan diproduksi di Malaysia oleh syarikat tempatan, malahan material untuk bateri terbabit juga dihasilkan di dalam negara, membolehkan harganya menjadi lebih murah. Di mana syarikat terbabit akan bekerjasama dengan lain-lain syarikat untuk menghasilkan bateri bagi pasaran EEV.”

Dalam masa yang sama, beliau juga mengesahkan pelan rancangan bagi Dasar Automotif Nasional 2050 akan dibentangkan kepada kerajaan tidak lama lagi, termasuk berkaitan dengan masa hadapan pemanduan sendiri. “Pelan NAP masa kini hanya sehingga 2030, dan kita sedang membuat pelan perancangan baharu bagi sektor automotif sehingga 2050. Walau pun teknologi berkembang pantas, namun peraturan-peraturan dan penguatkuasaan belum dilaksana sepenuhnya dan ia akan terkandung di dalam perangkaan baharu,” ujarnya. - Paultan

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA