Mahathir Tunjuk Sokongan, Bersalam Dengan Anwar Selepas 18 Tahun


MUNGKIN sesuatu yang jarang-jarang berlaku kepada dua pemimpin politik yang suatu ketika dahulu tidak sehaluan, tetapi kini tampil dikhalayak dengan bersalaman dan menunjukkan sokongan secara terbuka.

Dua nama besar dalam politik negara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak seteru tampil berbeza hari ini apabila mantan Perdana Menteri itu hadir memberikan sokongan kepada bekas timbalannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Kedua-dua pemimpin yang pernah bersama memimpin negara pada 1990-an itu dilihat bertegur sapa dan bersalaman selepas genap 18 tahun Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri.

Anwar dipecat Dr Mahathir pada 2 September, 1998 selepas dituduh menyalah guna kuasa dan salah laku seks sehingga pemecatan itu mencetuskan demonstrasi besar-besaran di Kuala Lumpur.

Dr Mahathir hadir ditemani Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, Ahli Parlimen PKR Tian Chua, Zuraida Kamaruddin dan Datuk Kamarudin Jaffar dan bekas Naib Ketua Cawangan Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Turut hadir ialah barisan peguam PKR, N. Surendren dan Latheefa Koya, di samping peguam Melissa Sasidaran, Eric Paulsen dan aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan.

Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun hadir ke mahkamah bagi memfailkan saman menghalang penguatkuasaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Beliau mendakwa Akta MKN 2016 tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana ia dikuatkuasakan menurut Fasal 66 (4A) Perlembagaan Persekutuan

Akta MKN yang berkuat kuasa pada 1 Ogos lalu antara lain memberikan kuasa kepada Perdana Menteri menetapkan sesuatu kawasan sebagai “kawasan keselamatan” di mana beliau boleh membenarkan pasukan keselamatan memeriksa mana-mana individu, kenderaan atau bangunan tanpa memerlukan waran.Ia juga membenarkan penyiasat mengabaikan sebarang penyiasatan formal berhubung pembunuhan dilakukan polis atau tentera di dalam sesuatu “kawasan keselamatan”.- MYNEWSHUB.CC

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA