LPKP Pantau Perkhidmatan UBER Di Sabah dan Sarawak - Nancy


PUTRAJAYA: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah dan Sarawak bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis akan terus memantau operasi dan perkhidmatan kenderaan pengangkutan haram termasuk operasi perkhidmatan UBER.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Hajah Nancy Shukri berkata,  hal tersebut adalah bagi memastikan keselamatan dan kepentingan penumpang sentiasa diberi keutamaan dengan memastikan mendapat perkhidmatan teksi yang berlesen serta mematuhi peraturan semasa.

“Setakat ini UBER masih belum tampil ke LPKP Sabah dan Sarawak untuk memohon Permit bagi operasi kenderaan UBER di kedua-dua negeri tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Menurutnya, Seksyen 33 Akta LPKP telah jelas menetapkan larangan ke atas penggunaan kenderaan perkhidmatan awam yang tidak berlesen.

“Memandangkan modus operandi perkhidmatan UBER di Sabah dan Sarawak adalah sama seperti kereta sapu iaitu membawa penumpang tanpa permit yang sentiasa dipantau oleh Polis dan JPJ, tindakan boleh diambil oleh Polis dan JPJ ke atas pemndu kenderaan UBER termasuk menyita dan melucut hak ke atas kenderaan-kenderaan tersebut sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 51 Akta LPKP" katanya.

Tambahnya, tanggungjawab dan kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan perkhidmatan kenderaan haram termasuk di Sabah dan Sarawak terus dibendung untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan penumpang. – Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA