Longgar Prosedur Pengeluaran Sijil Halal Kepada Syarikat Bumiputera



KUALA LUMPUR : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dicadang memberi kelonggaran dalam prosedur pengeluaran persijilan halal JAKIM kepada syarikat Bumiputera terutama yang memiliki 100 peratus pekerja Islam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata biarpun saringan ketat persijilan halal baik dalam memastikan setiap piawaian dipatuhi, namun jika kelonggaran diberi kepada syarikat Bumiputera, ia sudah pasti akan meningkatkan kesedaran mengenai halal itu sendiri dikalangan mereka.

Beliau berkata, persijilan halal JAKIM ini sebenarnya bukan hanya menyentuh mengenai prosedur pengeluaran sijil saja, tetapi berkait soal dosa dan pahala.

"Halal amat penting (bagi semua pihak). Kalau syarikat itu dimiliki orang Islam dan pekerjanya pun 100 peratus Islam, ada baiknya juga jika prosesnya dapat dipermudahkan.

"Saya harap pihak JAKIM dapat beri perhatian kepada hal ini. Syarikat Melayu ada modal terhad dan kurang, perlu keluarkan modal besar untuk melepasi tahap persijilan halal tertentu, jika kita dapat bantu, ia sangat baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Halal Fiesta Malaysia (HALFEST) 2016 di Pusat Pameran MINES, di sini, sebentar tadi.

Hadir sama, Tengku Puteri Seri Lela Manja Pahang, Tengku Dato' Nong Fatimah Sultan Ahmad Shah serta Penasihat HALFEST, Datuk Seri Mohd Shakar Samsuddin. -BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA