Logo Halal Risda Menyalahi Undang-Undang


PETALING JAYA: Langkah Risda untuk mengeluarkan logo halal sendiri bagi produk yang dihasilkan oleh orang Islam adalah bertentangan dengan undang-undang, kata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha berkata walaupun niat Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah itu adalah baik, namun mereka sepatutnya mendapatkan kebenaran yang diperlukan daripada agensi yang berkaitan.

Kegagalan berbuat demikian melanggar Akta Perihal Dagangan 2011, yang melarang mana-mana pihak lain untuk mengeluarkan sijil pengiktirafan halal sendiri tanpa kelulusan daripada Jakim.

"Sekiranya pihak Institut Kerjasama Islam Malaysia (Ikiam) dan Risda berhasrat untuk terus mengeluarkan logo halal baharu kepada produk muslim keluaran usahawan pekebun kecil Risda, maka ianya adalah bercanggah dengan akta yang jelas menyatakan bahawa hanya Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri atau Majlis Agama Islam Negeri sahaja merupakan pihak berkuasa berwibawa di dalam mengeluarkan pengesahan halal.

"Perkara ini adalah penting bagi mengelakkan semua pihak termasuk individu atau syarikat agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan sijil halal," katanya.

Dilaporkan bahawa Ikiam dengan kerjasama Risda akan melancarkan logo halal khusus untuk produk Islam tahun depan.

Pengerusi Risda, Datuk Zahidi Zainul Abidin dilaporkan berkata, logo yang akan dilancarkan itu nanti bertujuan mengesahkan produk itu keluaran usahawan Muslim selepas memperoleh sijil halal Jakim. - mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA