Lima Wakil Keluarga Diberi Laluan VIP Temui Atlet Paralimpik



Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail menegaskan pihaknya tidak menghalang mana-mana ahli keluarga atlet paralimpik untuk meraikan kepulangan wira dan wirawati negara di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada Khamis ini.

Namun, beliau berkata, MSN telah menetapkan bahawa lima ahli keluarga terdekat akan diberi keutamaan untuk disediakan makanan, penginapan dan pengangkutan ke Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malah, Ahmad Shapawi berkata laluan VIP juga akan diberikan bagi membolehkan ahli keluarga terdekat ini berjumpa dan menyambut atlet ini terlebih dahulu.

Katanya, selepas sesi pertemuan khas dengan ahli keluarga terdekat, baharulah atlet ini diraikan kepimpinan tertinggi negara dan masyarakat keseluruhannya di kompleks tersebut.

"Kita mengalu-alukan kehadiran ahli keluarga atlet yang lain yang ingin datang ke kompleks itu tapi hanya lima ahli keluarga bagi 21 atlet negara termasuk ahli keluarga jurulatih dan pegawai yang akan diberi keistimewaan untuk memasuki kawasan lapangan terbang bagi berjumpa atlet kesayangan mereka terlebih dahulu," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Ahmad Shapawi berkata demikian bagi mengulas isu berkaitan kuota yang dibangkitkan Zolkefli Othman, bapa pemenang pingat emas acara lontar peluru paralimpik, Muhammad Ziyad.

Jelas beliau, kuota hanya lima ahli keluarga terdekat ditetapkan memandangkan kontinjen paralimpik mempunyai hampir 30 atlet, jurulatih dan pegawai untuk memasuki kawasan lapangan terbang yang merupakan kawasan larangan terhad.

Katanya, Ini juga mengambilkira keselesaan mereka semasa sambutan itu nanti.

"Saya sentiasa berhubung dengan Zolkifli dan saya sendiri telah bertanyakan pada dia tentang perkara tersebut. Dia memaklumkan hanyalah mengemukakan hasrat untuk mendapatkan dua slot tambahan buat tunang Ziyad dan bakal ibu mertuanya dan saya sendiri alu-alukan kehadiran mereka bersama kami nanti.

"Kita tetapkan kuota lima wakil untuk 30 ahli kontinjen, jadi kira-kira hampir lebih dari 100 ahli keluarga atlet, jurulatih dan pegawai akan diberi layanan istimewa ini. Untuk kuota itu kita beri keutamaan kepada ibu dan bapa atlet begitu juga bagi atlet yang sudah ada isteri dan anak. Jika belum berkahwin mungkin bagi kepada adik-beradik," katanya.

Ahmad Shapawi berkata, lima ahli keluarga atlet terbabit akan dibawa ke kompleks tersebut dari Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan menaiki pengangkutan yang disediakan MSN untuk memudahkan pergerakan mereka.

"Mereka tak perlu bawa kenderaan, semua sudah diuruskan bermula dari pengangkutan ke Kompleks Bunga Raya sehinggalah tempat penginapan dan juga makanan mereka," katanya.

Tegas beliau, lima ahli keluarga terdekat itu akan ditempatkan di dalam sebuah bilik khas di mana mereka akan dipertemukan terlebih dahulu dengan wira dan wirawati negara itu sebaik sahaja mereka tiba di kompleks tersebut.

"Kita tahu keadaan di luar kawalan jika mereka dibawa terus bertemu orang ramai. Jadi kita beri peluang kepada ahli keluarga untuk menyambut kepulangan mereka lebih awal sebelum orang lain," katanya.

Terdahulu mStar Online melaporkan Zolkefli terkejut apabila MSN memintanya mengesahkan lima nama yang akan hadir pada majlis tersebut.

Justeru beliau berkata seelok-eloknya tiada kuota ditetapkan untuk setiap keluarga yang ingin berkongsi detik kegembiraan bersama atlet berkenaan pada Khamis ini.-mStar

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA