Lembu Charolais seberat satu tan selamat dikorbankan


KUALA TERENGGANU: Seramai hampir 1,500 orang membanjiri Kampung Losong Dato Amar, di sini, bagi menyaksikan proses penyembelihan lembu baka Charolais seberat satu tan, hari ini.

Orang ramai membabitkan penduduk setempat dan pengunjung dari luar dilihat mula membanjiri tapak penyembelihan itu seawal jam 8 pagi.

Pengerusi Badan Ukhwah Darul Iman (BUDI), Zulfadli Hassan, berkata pihaknya menganggap ia sesuatu yang luar biasa apabila melihat orang ramai berpusu-pusu mahu menyaksikan ibadat korban itu dijalankan.

Katanya, sejak 10 tahun penubuhan BUDI ,yang menjalankan kerja sukarela di kampung berkenaan, ini kali pertama orang ramai begitu teruja menyaksikan proses itu dijalankan.

"Alhamdulillah, proses penyembelihan lembu Charolais berusia tiga tahun itu selamat dijalankan tanpa sebarang masalah kira-kira jam 10.45 pagi tadi.

"Sekarang, gotong-royong untuk pembahagian daging lembu itu masih dijalankan dan ia akan diagihkan kepada penduduk sekitar kampung ini," katanya ketika ditemui selepas proses penyembelihan itu siap dijalankan, di sini.

Difahamkan, daging lembu seberat satu tan itu mampu diagihkan kepada kira-kira 2,000 penduduk di kawasan ini.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA