Lelaki Ditangkap Rancang Rompak Sambil Berjubah Sempena 9/11


NEW YORK: Seorang lelaki ditahan kerana merancang untuk merompak sebuah kedai sempena ulang tahun memperingati kejadian 11 September dan bercadang memakai pakaian seperti orang Islam serta menayang bom palsu, kata pegawai persekutuan.

Juneal Ali, 29, didakwa atas kesalahan cubaan merompak dan konspirasi, menurut aduan di mahkamah persekutuan Manhattan.

Ketika pendakwaan didengar di mahkamah pada Selasa, hakim memerintahkan Ali ditahan.

Pendakwa berkata Ali merancang merompak sebuah kedai di Bronx yang menyediakan perkhidmatan kiriman wang dan tunaikan cek, pada ulang tahun ke-15 serangan di New York dan Washington itu.

Menurut aduan jenayah itu, Ali dan rakan sejenayahnya bercadang untuk memakai jubah seperti orang Islam, menayang bom palsu dan memaksa pekerja kedai itu menyerahkan wang tunai.

Mereka merancang melakukannya pada Ahad, 11 September, tetapi rompakan itu ditangguhkan hingga Selasa selepas rakan subahatnya itu dilaporkan berkata terlalu ramai orang di kawasan berkenaan.

Tidak meneruskan rompakan itu, tetapi rakan subahatnya terus melaporkan perbuatan itu kepada polis, menurut kertas aduan berkenaan.

Tidak mengetahui yang perbuatan itu sudah dilaporkan, Ali memandu keretanya pergi ke rumah kawannya pada Selasa, di mana pihak berkuasa sedang menunggu untuk menahannya.

Polis menggeledah keretanya dan menemui jubah warna gelap, pistol olok-olok dan lampu jalan kecil yang dibalut dengan meter voltan untuk kelihatan seperti bahan letupan, menurut kertas aduan itu.

Selepas ditangkap, Ali mengaku membuat bom palsu dan mendapatkan jubah itu daripada ibunya, tetapi dia sebenarnya bercadang untuk memberitahu rakannya yang dia mahu membatalkan rompakan berkenaan.

Susan Marcus, peguam mewakili Ali berkata dia ialah pemilik kedai membaiki kereta dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 7 tahun serta memohon dikenakan tahanan rumah, menurut rakaman audio daripada mahkamah.

Susan berkata kertas aduan itu memetik perancang bersama dalam plot berkenaan, termasuk individu ketiga dan berhujah tidak jelas siapa yang mencetuskan idea rompakan itu.

“Saya berhujah Ali bukan ketua atau penganjur rancangan penipuan ini,” katanya di hadapan Hakim Majistret AS James Cott.

Hakim menyifatkan Ali sebagai bahaya kepada masyarakat, berkata dia mempunyai “masalah kesihatan yang serius dan isu rawatan dadah”. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA