Lee Ka Tung Sedia Pertahankan Kejuaraan


KUCHING: Juara bertahan, Lee Ka Tung dari Kelab Golf Sibu (SGC) berazam untuk sekali merangkul kejuaraan pada Kejohanan Golf Terbuka Sarawak Amateur Masters Ke-9 yang berlangsung di Kelab Golf Sarawak (KGS) bermula hari ini.

Kejohanan itu menawarkan Trofi Cabaran YB Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing untuk menjadi rebutan pemain.

Menurut Ka Tung, muncul juara pada kejohanan kali ini sedikit sukar kerana ramai pemain terbaik turut serta.

"Namun saya akan mencuba sedaya upaya untuk sekali lagi merangkul kejuaraan.

"Memang tidak dinafikan pemain kali ini ramai yang bagus-bagus dan mampu mencabar kejuaraan," katanya.


Pemain kelahiran Sibu itu berkata, ini merupakan kali kesembilan beliau menyertai kejohanan ini.

"Saya tidak pernah ketinggalan menyertai kejohanan ini sejak mula diadakan," ujarnya.

Selain trofi kejuaraan, hadiah bernilai RM50,000 menanti pemenang kategori terbuka dan tetamu jemputan pada kejohanan itu.

Lebih menarik lagi, hadiah berupa Toyota Camry 2.5L Hybrid bernilai RM164,000 turut disediakan kepada pemenang 'hole in one' pada hari terakhir kejohanan.

Hadiah 'hole in one' lain pada hari ketiga kejohanan termasuk jam tangan Tag Heuer dan Oris yang masing-masing bernilai RM11,700 dan RM10,900.

Sepanjang tiga hari kejohanan, beberapa hadiah 'hole in one' turut menjadi rebutan termasuk 'iron set' jenama Fourteen, Maruman TW Pro, Callaway Apex dan Callaway Apex Pro yang keseluruhan bernilai RM20,000.

Kejohanan yang berlangsung dari 30 September hingga 2 Oktober itu disertai 320 peserta yang bertarung dalam kategori terbuka dan tetamu jemputan.-Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA