Lebuhraya Pan Borneo Perlu Kerjasama CoPS


KUCHING: Kerjasama secara langsung Pusat Kecemerlangan Pembinaan Tanah Gambut (CoPS) amat diperlukan untuk membantu menangani cabaran dihadapi pasukan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo terutama membabitkan isu tanah gambut, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Melalui usahasama industri itu beliau berkata, beberapa bidang lain juga boleh diceburi termasuk pembangunan 'spin-off' jajaran lebuh raya, alam sekitar dan aspek kelestarian.

Malah menurutnya, garis panduan pembinaan di tanah gambut dan organik di Malaysia yang dilancarkan beliau pada 2015 diharapkan dapat dijadikan rujukan oleh pemain industri terutama dalam projek Lebuhraya Pan Borneoyang sebahagian jajarannya dibina atas tanah gambut.

"Saya mengharapkan pusat ini (CoPS) dapat bekerjasama secara langsung dengan projek Lebuhraya Pan Borneoyang sedang dibina. Cabaran yang dihadapi oleh pasukan pembinaan lebuh raya ini (Pan Borneo) seperti itu tanah gambut, pembangunan 'spin-off' jajaran lebuh raya, alam sekitar dan aspek kelestarian merupakan bidang yang boleh diceburi melalui usahasama industri bersama CoPS, katanya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar CoPS yang diurustadbir oleh Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) berjaya sebagai pusat rujukan setempat bagi menyelesaikan dan membuat pengesyoran mengenai isu tanah gambut melalui penyelidikan.

"Bagi menjalankan simulasi model berskala besar mengenai permasalahan kepelbagaian struktur tanah dan kejuruteraan geoteknikal, Pusat Penyelidikan Geoteknikal Antarabangsa Untuk Fasiliti Centrifuge akan ditubuhkan pada 2017 di Universiti Teknologi Swinburne, Kampus Sarawak," ujarnya. -Sarawakiana.



No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA