Lawatan Najib Ke Jerman Tarik Potensi Pelaburan Sebanyak RM1.5 Bilion


BERLIN: Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jerman berjaya meningkat lagi hubungan dua hala, perdagangan dan iklim pelaburan antara Malaysia dan Jerman, yang mempunyai penduduk kira-kira 80.6 juta orang dan merupakan ekonomi keempat terbesar di dunia.

Lawatan ini memberi peluang kepada bakal pelabur Jerman dan yang sedia ada di Malaysia menyuarakan pendapat, cabaran dan cadangan mereka secara terus kepada perdana menteri.

"Mereka (syarikat-syarikat) sangat gembira kerana diberi peluang untuk melibatkan diri secara langsung dengan ketua kerajaan. Ia menunjukkan komitmen kita untuk menggalakkan lagi perniagaan mereka di Malaysia," kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Azman Mahmud.

Jerman adalah pelabur terbesar di Malaysia dari Kesatuan Eropah (EU). Terdapat 400 syarikat Jerman di Malaysia. Dalam tempoh enam bulan pertama 2016, syarikat-syarikat Jerman melabur sejumlah RM6.44 bilion di Malaysia. Sejak 10 tahun lepas, jumlah pelaburan mencecah RM35 bilion.

Syarikat-syarikat berkenaan sangat gembira dengan kenyataan dan jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri dalam menyediakan persekitaran perniagaan yang sesuai untuk mereka, katanya kepada Bernama di luar acara lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri yang bermula dengan sesi dialog tertutup dengan ketua-ketua perniagaan.

Ini merupakan lawatan pertama Najib sebagai Perdana Menteri sejak memegang jawatan pada 2009. Lawatan beliau adalah atas jemputan Canselor Jerman Angela Merkel.

Kedua-dua pemimpin telah mengadakan mesyuarat dua hala pada Selasa.

Syarikat yang menyertai dialog itu termasuk Atotech, AWS Schafer, BMW, Daimler, Osram, Volkswagen, Infineon, Bombardier Transportation, Ensinger, B. Braun, Green Sugar dan Biesterfeld International.

Selain sesi dialog itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Pegawai Eksekutif XFab Rudi De Winter, Presiden Muhlbauer Josef Muhlbauer, Naib Presiden Kanan (Asia Pasifik & Afrika Selatan) BMW Group (Munich) Hendrik von Kuenheim dan Pengarah Strategik Pembangunan Perniagaan Aerodata AG Dr Manfred Haverland.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata kira-kira RM1.5 bilion dalam potensi pelaburan masa depan diumumkan oleh syarikat-syarikat yang beliau temui semasa sesi dialog dan pertemuan dua hala, terutamanya dalam sektor semikonduktor dan jentera.

Hasrat mereka membuat pelaburan baru serta pelaburan semula menunjukkan tahap keyakinan mereka terhadap daya tarikan dan kestabilan di negara ini, katanya.

Azman berkata selain isu-isu yang berkaitan dengan pelaburan, perniagaan yang terlibat dalam sektor automotif juga berminat untuk mengetahui tentang Dasar Automotif Negara.

"Mereka ingin tahu hala tuju masa depan dan penggunaan Euro 5 serta kenderaan cekap tenaga," katanya.

Najib berkata kerajaan akan meneruskan usaha dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan paling menarik di Asia Tenggara dan sentiasa menggalakkan pelabur sedia ada untuk melabur semula di Malaysia.

Dalam pertemuan dengan komuniti perniagaan, beliau juga mengumumkan bahawa selain syarikat-syarikat multinasional, Malaysia berminat untuk menarik pengeluar bersaiz sederhana.

Berdasarkan jumlah besar syarikat berkenaan, syarikat bersaiz sederhana negara itu yang secara kolektif dikenali sebagai 'Mittelstand' merupakan tulang belakang ekonomi. Mereka melengkapkan syarikat perusahaan dan pengilang besar terkenal.

Najib yakin perusahaan kecil dan sederhana Malaysia boleh mempelajari banyak perkara daripada syarikat-syarikat bersaiz sederhana Jerman terutama dari segi semangat keusahawanan, strategi berdaya saing serta penyesuaian dan inovasi mereka dalam teknologi maju.

Pada hari terakhir lawatan tiga hari itu, Najib melawat bandar pelabuhan di Mecklenburg-Vorpommern, kira-kira 200 kilometer dari ibu negara, Berlin.

Mecklenburg-Vorpommern merupakan negeri Jerman yang keenam terbesar mengikut kawasan dan paling kurang penduduk.

Beliau juga ke Wismar, di mana Genting Hong Kong Ltd menguruskan tiga buah limbungan yang diperoleh di Mecklenburg-Vorpommern tahun lepas pada RM1.04 bilion.

Genting telah menamakan semula limbungan itu kepada MV Werften dan akan memberi tumpuan kepada usaha membina kapal persiaran baru yang besar.

Beliau berkata pelaburan di Mecklenburg-Vorpommern melalui pengambilalihan limbungan kapal itu membuka laluan kepada lebih banyak pelaburan oleh syarikat Malaysia di negara ini.

Dalam usaha meningkatkan lagi hubungan Malaysia-Jerman, Perdana Menteri menyatakan minat Malaysia untuk menjadi tuan rumah Persidangan Perniagaan Jerman Asia Pasifik ke-16 di Kuala Lumpur pada 2018.

"Kami berharap perkara ini akan menjadi kenyataan," kata beliau. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA