Latihan Vokasional Penuhi Kehendak Industri Masa Kini


KUCHING: Pendidikan dan latihan vokasional yang sering dianggap sebagai pendidikan kelas kedua kini mampu menyediakan peluang pekerjaan yang lumayan kepada graduan bidang kemahiran kerana ia mampu memenuhi kehendak industri masa kini.

Menteri Muda Pembangunan Tenaga Kerja dan Latihan merangkap Penaung Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), Datu Haji Len Talif Salleh berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Pendidikan Teknikal di sini hari ini.

Menurutnya, perlaksanaan Koridoraya Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) sedang rancak dijalankan dan ia bakal menyediakan ribuan peluang pekerjaan kepada penduduk Negeri Sarawak.

“Berasaskan 10 industri, Sarawak dijangka memerlukan seramai 300,728 pekerja mahir dan separa mahir pada tahun 2020 dan meningkat kepada 435,210 dalam tahun 2030,” katanya yang juga Menteri Muda Alam Sekitar Sarawak.

Justeru, beliau menggesa agar pelajar, guru-guru, ibu bapa dan orang ramai supaya mendapatkan maklumat lanjut tentang peluang-peluang pendidikan dan latihan yang disediakan serta bentuk pinjaman pendidikan yang ditawarkan oleh agensi-agensi berkaitan.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman di antara PPKS bersama tiga rakan strategik bagi membangun progam terbaru sesuai dengan permintaan industri dan memperkasakan program sedia ada melalui mengiktirafan persijilan antarabangsa. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA