Larangan Merokok Di Kedai Kopi, Netizen Beri Reaksi Pelbagai



KUCHING: Hasrat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengenakan larangan merokok di semua premis makanan berlesen di bawah pentadbirannya mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna laman Facebook.

Ada antaranya bersetuju dan tidak kurang yang membantah dengan mendakwa larangan itu akan menyebabkan pengusaha premis makanan akan berdepan situasi kekurangan pelanggan.

Bagi Isman Zaini, ia tidak memberi kesan kepada pengusaha premis makanan kerana seperti di Thailand, Singapura dan Brunei operasi perngiagaan berjalan seperti biasa.

"Tidak ada masalah untuk menguatkuasa larangan ini di negara jiran. Kedai kopi dan restoran masih beroperasi seperti biasa," katanya.

Harith Haziq pula berkata, larangan itu dapat meningkatkan kebersihan di premis makanan kerana perokok tidak membuang puntung rokok sesuka hati.

"Ini kerana tidak semua kedai kopi menyediakan bekas puntung rokok," ujarnya.

Johili Sebeli berkeyakinan dengan larangan itu, sudah pasti pengusaha premis makanan akan menyediakan ruang khas untuk merokok.

"Jika tidak sudah pasti pelanggan (yang merokok) akan lari," jelasnya.

Semalam, Datuk Bandar Kuching Utara Datuk Abang Wahap Abang Julai dipetik sebagai berkata, bermula 1 Januari tahun depan, semua premis makanan berlesen di bawah DBKU akan menjadi zon larangan merokok dan menghisap vape. -Sarawakiana.




No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA