Larangan Kenderaan Berat Lalu Kawasan Sekolah


Kuala Lumpur: Larangan kenderaan berat melalui kawasan sekolah sekurang-kurangnya dua jam ketika waktu puncak sekolah, antara tindakan segera yang diteliti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) susulan meningkat kes kemalangan membabitkan pelajar di depan sekolah.

Selain itu, JKJR bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperkenalkan program perintis advokasi dan pencegahan dengan mengenal pasti dua sekolah berisiko tinggi di setiap negeri untuk dipantau ketika waktu puncak.

Ketua Pengarah JKJR, Datuk Arifin Che Mat, berkata beliau mengarahkan pegawainya di setiap negeri mengadakan pertemuan segera dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Pengangkutan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengetengahkan cadangan larangan itu.

Jadikan garis panduan
Katanya, EXCO pengangkutan yang juga Pengerusi Mahlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri boleh mempertimbangkan cadangan itu untuk dijadikan peraturan atau garis panduan bagi meningkatkan tahap keselamatan pelajar, sekaligus menjadikan sekolah sebagai kawasan selamat.

Beliau berkata, selepas disahkan pada peringkat negeri, cadangan peringkat nasional untuk dipertimbangkan tindakan susulan, termasuk penggubalan undang-undang sebelum diwartakan.

"Kaedah ini sama seperti peraturan melarang kenderaan berat memasuki pusat bandar bagi memastikan aliran trafik lancar. Kami yakin peraturan ini mampu mengurangkan kes kemalangan di hadapan sekolah," katanya semalam.

Semalam dilaporkan lokasi sekolah di tepi jalan besar yang turut menjadi laluan kenderaan berat, selain ketiadaan zon pemisah di antara sekolah dengan jalan, besi pengadang pejalan kaki serta jejantas dikenal pasti punca kemalangan maut terus berlaku di hadapan sekolah.

Laporan itu juga menyebut dalam tempoh tiga hari lalu, dua murid maut dan seorang cedera parah dirempuh kenderaan di jalan utama di hadapan sekolah mereka di Bagan Serai, Perak; Dungun, Terengganu; dan Alor Gajah, Melaka.

Pakar keselamatan jalan raya dan tinjauan juga mendapati kebanyakan jalan di hadapan sekolah tiada pengawal lalu lintas, speed breaker atau bonggol.

Arifin berkata, bagi projek perintis advokasi dan pencegahan yang dilaksanakan tahun ini, pemantauan anggota daripada dua jabatan terbabit bagi memastikan kawasan sekolah selamat untuk pelajar dan masyarakat.

"Kejayaan projek perintis itu akan menjadi penanda aras untuk pelaksanaan projek yang lebih besar pada peringkat nasional pada masa akan datang," katanya.

Elak pelajar lintas jalan
Selain itu, Ariffin turut meminta pihak berwajib menyediakan lebih banyak speed breaker dan bonggol di kawasan sekolah dalam usaha mengurangkan kelajuan kenderaan di kawasan itu.

"Kami juga meminta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berbincang dengan pengusaha bas sekolah supaya kenderaan mereka diletakkan di sebelah sekolah, bukannya di seberang jalan setiap kali mengambil dan menurunkan pelajar bagi mengelak pelajar melintas jalan," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengendali Lori Kuala Lumpur dan Selangir, Alvin Choong, berkata larangan terhadap kenderaan berat melalui kawasan sekolah pada waktu puncak adalah tidak adil.

"Beberapa larangan diletakkan kepada industri ini, antaranya lori tidak dibenarkan masuk ke kawasan ibu negara antara jam 4 hingga 7 malam dan pertambahan larangan adalah tidak adil kepada industri lori," katanya.

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA