Lapan Pakej Baru Pan Borneo Dirasmi Serentak Oktober


MIRI: Lapan pakej baharu projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dirancang dirasmikan secara serentak di Miri pada Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan kontraktor untuk semua pakej itu telah dimuktamadkan untuk dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

“Kita menyasarkan untuk membuat pelancaran serentak semua pakej di Miri pada Oktober.

“Ia tertakluk kepada tarikh PM dan KM sekiranya kedua-duanya dapat bersama dirancang untuk diadakan dalam Oktober,” katanya mengulas perkembangan terkini projek berkenaan selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Tertinggi Pergerakan Pemuda PBB 2013- 2016 Kelapan di Hotel Parkcity Everly di sini, petang semalam.

Fadillah berpuas hati mengenai pembangunan projek di Sarawak dilaksanakan mengikut jadual dan jajaran Simpang Nyabau ke Bakun berjalan sedikit lewatb daripada jadual sebab masalah tanah.

“Ia tidak menjejaskan waktu untuk menyiapkan kerja sebagaimana yang ditetapkan dalam kontrak ditandatangani,” jelasnya.

Untuk jajaran dari Teluk Melano ke Sematan, projek berjalan dengan baik melibatkan kejauhan 40 kilometer sementara kerja permulaan sudah dimulakan untuk jajaran Serian ke Pantu.

Mengenai projek di Sabah, kerja pembangunan akan dipercepat kerana projek bermula agak lewat berbanding Sarawak.

Lebuh Raya Pan Borneo sepanjang 2,325km adalah tulang belakang kepada perhubungan di Borneo, bermula dari Telok Melano di Sarawak hingga ke Tawau di Sabah, dengan pakej jajaran bulatan Serian-Simpang Pantu sepanjang 75km sebagai sebahagian daripada pakejnya.

Projek dianggarkan bernilai lebih RM16 billion itu bukti kesungguhan kerajaan membangunkan ekonomi Sarawak dan Sabah. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA