Lagi Laporan Polis Ke Atas 'Kapak Sarawak'


SRI AMAN: Satu lagi laporan polis dibuat oleh dua Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi lewat petang semalam di Balai Polis Sri Aman ke atas pemilik akaun Facebook, ‘Kapak Sarawak (Anthony Bakit)’ didakwa menghina penunggang motosikal berkuasa tinggi di negeri ini.

Dua Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi ialah Simanggang Benak Riders Club (SBRC) dan Simanggang Kayau Bikers (SKB).

Pengerusi SBRC, Jamali Safri ketika bercakap kepada pemberita berkata, laporan polis dibuat sebagai tanda protes dan tidak puas hati terhadap catatan pemilik akaun Facebook berkenaan disifat menjatuhkan maruah penunggang motosikal berkuasa tinggi dinegeri ini.

“Tidak semua penunggang motosikal bersikap tidak berhemah ketika berada di jalan raya malah semua orang akan berhati-hati ketika berjalan di jalan raya.

“Kita tidak merancang setiap kemalangan yang berlaku dijalan raya dan yang melibatkan penunggang motosikal berkuasa tinggi seperti yang berlaku di Debak baru-baru ini,” katanya dengan nada kesal terhadap catatan yang tertulis di akaun milik Kapak Sarawak berkenaan.

Menurutnya, semua kelab permotoran berkuasa tinggi ini adalah kelab permotoran berdaftar.

“Justeru, kami terpanggil membuat laporan polis terhadap catatan tertulis dalam akaun FB milik Kapak Sarawak berkenaan disifat sebagai kenyataan biadap,” ujarnya lanjut.

Sementara itu, Pengerusi SKB, Ebit Seng yang turut bersama SBRC membuat laporan polis di sini semalam memohon kepada pihak bertanggungjawab mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun berkenaan.

“Kami memohon pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik akaun Facebook berkenaan.

“Kenyataan beliau sebenarnya seolah-olah satu penghinaan kepada penunggang penunggang motosikal berkuasa tinggi di negeri ini,” katanya.

Jelasnya, mereka tidak mahu masyarakat memandang rendah terhadap kelab kelab selepas ini memandangkan ia kelab berdaftar dan sah di sisi undang-undang.

“Sekali lagi kami mahu dan memohon kepada pemilik akaun FB berkenaan memohon maaf secara terbuka kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi di negeri ini dan ahli keluarga penunggang motosikal yang meninggal dunia baru-baru ini,” katanya lanjut.

Turut hadir sama di balai polis, kira-kira 30 ahli kelab kedua-dua kelab motosikal di sini.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA