Lagi Gerhana Bulan Penumbra Malam Sabtu



KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia bakal menyaksikan fenomena Gerhana Bulan Penumbra buat kali kedua tahun ini pada Sabtu (17 September).

Menurut Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), fenomena gerhana tersebut hanya akan dapat mula disaksikan apabila bulan mula memasuki penumbra pada jam 12.55 pagi Sabtu, dan berada pada fasa maksimum apabila bulan berada di kawasan penumbra yang paling dalam pada 2.54 pagi.

"Fenomena gerhana bulan penumbra akan berakhir apabila keseluruhan bulan keluar sepenuhnya dari kawasan penumbra pada jam 4.54 pagi.

"Secara am, fenomena gerhana bulan berlaku apabila bumi menghalang cahaya matahari dari jatuh ke atas permukaan bulan," menurut ANGKASA dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut agensi itu, fenomena Gerhana Bulan Penumbra yang pertama pada tahun ini adalah pada 23 Mac lalu.

Menurut ANGKASA, Gerhana Bulan Penumbra sukar dilihat dengan mata kasar kerana penumbra adalah kawasan bayang-bayang bumi yang lebih samar (kurang gelap) jika dibandingkan dengan kawasan umbra iaitu kawasan bayang-bayang bumi yang gelap.

"Peluang untuk melihat kesan gerhana penumbra akan menjadi lebih mudah dan jelas jika kita melihat gerhana tersebut menggunakan peralatan bantuan seperti binokular ataupun menggunakan teleskop," menurut agensi itu.

Menurut ANGKASA, pihaknya tidak akan mengadakan sebarang program pencerapan untuk orang awam sempena fenomena Gerhana Bulan Penumbra Sabtu ini. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA