KPWKM Mahu Ancaman Virus Zika Ditangani Secara Bersama


TAWAU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mahu ancaman virus zika ditangani secara bersama khususnya pada peringkat komuniti.

Timbalan Menterinya, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata masyarakat tidak boleh menyerahkan tanggungjawab menangani virus zika kepada pihak kerajaan semata-mata tetapi amalan penjagaan kesihatan dan persekitaran perlu menjadi tanggungjawab setiap ahli komuniti.

"Apa sahaja penyakit yang berlaku dalam negara ini memerlukan pembabitan komuniti dan tidak boleh kata kerajaan atau pihak berkuasa tempatan sahaja, kerana itu tanggungjawab kita memastikan nyamuk tidak membiak di kawasan rumah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis makan malam bersama badan bukan kerajaan (NGO) Pergerakan Wanita Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) di sini, malam tadi.

Katanya, kesedaran anggota masyarakat itu penting bagi memastikan kawasan komuniti bebas daripada pembiakan nyamuk iaitu melalui cara mengadakan pelbagai program kebersihan khususnya gotong-royong membersih kawasan persekitaran.

Sementara itu, Azizah mahu lebih banyak penyertaan wanita di peringkat membuat keputusan di sektor korporat dan ekonomi di negara ini.

"Penyertaan wanita sebagai pembuat keputusan di kedua-dua sektor masih kurang daripada sasaran 30 peratus yang ditetapkan kerajaan dan justeru itu sektor-sektor ini disaran mengambil langkah sewajarnya bagi mencapai matlamat itu," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pembuat keputusan wanita di sektor awam telah mencapai sasaran 30 peratus dan perkara itu membuktikan bahawa kerajaan gigih merealisasikan matlamat itu berhasil.- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA