Korea Utara Berjaya Uji Roket Baharu


SEOUL: Korea Utara berjaya menjalankan satu lagi ujian darat enjin roket berkuasa tinggi baharu, menurut media rasmi hari ini, perkembangan yang bakal memajukan lagi program senjata Pyongyang.

Selepas menyelia ujian itu di tapak pelancaran satelit Sohae, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, menggesa pegawai, saintis dan juruteknik memperkemas persiapan akhir bagi melancarkan satelit secepat mungkin, lapor agensi berita KCNA.

Wujud spekulasi bahawa Korea Utara mungkin meraikan ulang tahun penubuhan parti memerintah, Parti Pekerja, pada 10 Oktober ini dengan melancarkan satelit.

Kim turut menggesa lebih banyak lagi pelancaran roket untuk menjadikan negara itu "pemilik satelit geopegun dalam beberapa tahun akan datang".

Korea Utara juga menjalankan siri ujian peluru berpandu jarak jauh yang digambarkan sebagai pelancaran satelit, Februari lalu.

Menurut KCNA, enjin itu akan memberikan negara keupayaan mencukupi untuk melancarkan pelbagai jenis satelit, termasuk satelit pemerhatian bumi di peringkat dunia.

Saintis roket, Chae Yeon-Seok, dari Institut Kajian Aeroangkasa Korea berkata dengan enjin baharu, Korea Utara hampir pasti memiliki peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mampu sampai ke tanah besar Amerika Syarikat.

"Program angkasa Korea Utara memberi tumpuan kepada pembangunan pelancar yang boleh digunakan dengan mudah untuk peluru berpandu berbanding membangunkan satelit lebih baik," kata Chae kepada AFP.

Ujian enjin itu dijalankan selepas Korea Utara mendakwa berjaya menguji peledak nuklear yang boleh dipasang pada peluru berpandu awal bulan ini diikuti beberapa siri pelancaran peluru berpandu balistik. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA