'Kita tiada kuasa kawal sumber asli negeri' - Wan Junaidi


SHAH ALAM: Kerajaan pusat tidak mempunyai kuasa untuk mengawal sumber asli termasuk pembalakan di negeri-negeri.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pihaknya hanya membuat kawal selia dan tidak boleh menghalang kuasa kerajaan di setiap negeri.

Jelasnya, kementerian mempunyai dasar dan keputusan bergantung kepada pertimbangan kerajaan negeri sendiri.

"Semua ini perlu diambil tindakan oleh kerajaan negeri untuk membuat supaya buat persefahaman dengan orang asli ini dan diberi penjelasan.

"Pihak negeri patut tahu ini kawasan orang asli dan melakukan perbincangan sesama mereka," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) tahun 2016 di sini, hari ini.

Wan Junaidi mengulas isu pembalakan yang semakin tidak terkawal di hutan Gua Musang.

Ia sekali gus mencemarkan alam sekitar dan mengganggu keamanan 20 kampung di Pos Orang Asli di daerah itu.

Sebelum ini, pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim dilaporkan berkata, lebih 400 hektar Hutan Simpan Kekal Ulu Galas dan Batu Papan, Gua Musang diterokai oleh sindiket yang menggunakan nama sultan Kelantan dan kerabat baginda.

Mereka dipercayai memperdaya penduduk supaya membeli lot-lot tanah yang diteroka dan menyertai penerokaan tanah bagi tujuan penanaman getah, kelapa sawit dan pisang.

Sebelum ini juga, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed menggesa kerajaan Pas Kelantan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan bagi memantau aktiviti pembalakkan dengan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang terlibat. - Awani

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA