Kilang Membuat Makanan Di Mukah, Kedai Kopi Di Bintulu Diarah Tutup

Foto Utusan Borneo
KUCHING: Sebuah kilang membuat makanan di Mukah dan kedai kopi di Bintulu menjadi premis terbaharu yang telah diarahkan ditutup oleh Jabatan Kesihatan Sarawak dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan pada minggu lepas.

Ketua Pegawai Kesihatan Alam Sekitar Sarawak Dr Samuil-Ashton Satu berkata perintah untuk menutup kedua-dua premis tersebut telah dikeluarkan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pemilik kilang makanan tersebut turut dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (FHR) 2009 kerana gagal mematuhi jaminan keselamatan makanan yang ditetapkan.

“Penutupan dibuat disebabkan keadaannya yang tidak bersih, pengesanan pencemaran kilang, kehadiran serangga seperti lalat, lipas dan tikus selain kebersihan diri kurang baik pengendali makanan,” katanya semalam.

Beliau menambah, kedua-dua premis diarah ditutup selama 14 hari bagi membolehkan premis itu diletakkan dalam keadaan bersih seperti ditetapkan secara khusus di bawah FHR 2009.

Namun, katanya premis itu boleh dibuka semula jika ia dalam keadaan bersih dan memuaskan pegawai berkuasa (Pegawai Kesihatan Alam Sekitar dan Penolong Pegawai Kesihatan Alam Sekitar).

Beliau menambah, tujuan penutupan itu adalah bagi membolehkan pemilik atau pengendali menjalankan tindakan cepat dalam membersihkan premis-premis dan bukan sebagai hukuman.

Dalam pada itu, Dr Samuil-Ashton menyeru orang ramai untuk memaklumkan pihak berkaitan sama ada Jabatan Kesihatan mahupun pihak relevan seperti pihak berkuasa tempatan jika mengetahui mana-mana kedai makan yang tidak mengamalkan pengendalian makanan yang bersih atau kedai makan yang kotor.-UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA