Khairul Sedia Lebur Rekod 200 Meter



PELARI terpantas Malaysia, Khai­rul Hafiz Jantan bersedia untuk memperbaharui satu lagi rekod kebangsaan sebelum menutup kalendar sukan olahraga negara tahun ini.

Rekod acara 200 meter (m) kebang­saan, 20.92s milik Tan Sri Dr. M. Jegathesan yang sudah berusia 48 tahun kini menjadi buruan Khairul, 18, selepas berjaya menyempurnakan misi meleburkan rekod 100m, 10.30s kepunyaan Watson Nyambek pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak pada Julai lalu.

Berdasarkan perkembangan terkini Khairul, jurulatih peribadinya, Mohd. Poad Kassim optimis bahawa anak didiknya itu mampu meleburkan rekod berusia 48 tahun itu pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia hujung bulan ini.

“Fokus dia memang terarah kepada Terbuka Malaysia memandangkan ia merupakan kejohanan terakhir tahun ini.

“Khairul berada pada prestasi terbaik dalam setiap sesi latihan ketika ini dan jika tiada sebarang masalah, dia boleh memecahkan rekod 200m kebangsaan itu pada Terbuka Malaysia nanti.

“Saya berharap semua peminat olahraga tanah air dapat mendoakan kejayaannya,” kata Poad ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Anak jati Melaka itu hanya ketinggalan 0.09s dengan rekod kebangsaan selepas melakukan catatan peribadi terbaik 21.01s pada Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Ho Chi Minh, Vietnam, Jun lepas.

Rakan sepelatih, Badrul Hisyam Abdul Manap dan pelari kebangsaan, G. Aravinthevar tentunya menjadi pencabar utama Khairul pada Terbuka Malaysia yang akan berlangsung di Stadium Arena Universiti Malaya itu nanti.

Badrul sebelum ini pernah meme­cahkan rekod tersebut, namun catatan masa 20.88s yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Terbuka UniMap di Arau, Perlis tahun lepas tidak di­iktiraf atas dakwaan menerima bantuan angin melebihi 2.2m/s.

Aravinthevar pula pernah me­lakukan catatan 21.11s pada Februari tahun ini yang mana ia merupakan catatan keempat terpantas dalam sejarah bagi acara 200m kebangsaan.

Kehadiran dua pelari itu secara tak langsung mampu ‘menarik’ Khairul untuk berlari lebih pantas berban­ding sebelum ini, sekali gus berpeluang memecahkan rekod kebangsaan acara tersebut. - Kosmo!

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA