Keupayaan Padam Kebakaran Di Bario Ditingkat


BARIO: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang menu-buhkan pasukan bomba bantuan kawasan tanah tinggi Bario dengan dibekal kemahiran dan peralatan asas pemadaman.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Soiman Jahid bagaimanapun berkata ia hanya ditubuhkan jika bomba sukarela Bario aktif dan berkembang se-terusnya dinaik taraf kepada pasukan bomba bantuan.
“Kita aktifkan dahulu pasukan bomba sukarela di kawasan Bario bagi menampung keadaan semasa,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pasukan bomba sukarela di sini kelmarin.
Jelasnya, jika terdapat ke-perluan JBPM bercadang menubuhkan pasukan bomba bantuan diketuai pegawai jabatan itu sendiri.
Soiman berkata pasukan bomba bantuan berkenaan  dianggotai pegawai JBPM tetap dan ahli bomba bantuan boleh dipanggil pada bila-bila masa jika berlaku kecemasan.
“Bomba bantuan ini diberi elaun dan dibayar mengikut jumlah jam semasa mereka bertugas, bahkan kita akan cuba melengkapkan mereka ini dengan peralatan asas bagi tujuan pemadaman,” jelasnya.
Menurutnya, sekiranya bomba sukarela aktif di Bario maka perkhidmatan mereka boleh dinaik taraf kepada pasukan bomba bantuan dengan diberi latihan khusus oleh pegawai bomba serta dibayar elaun mengikut jam.
“Pasukan bomba bantuan ini telah berjaya dilaksana di Semenanjung Malaysia kerana mereka orang terawal di lokasi kejadian dan menyelamatkan harta benda daripada musnah dalam kebakaran,” jelasnya.
Sarawak setakat ini mempunyai 39 pasukan bomba sukarela dengan keahlian 1,350 orang dan penubuhan pasukan yang sama di Bario menjadikan Sarawak kini memiliki 40 pasukan bomba sukarela yang aktif.
Beliau pada masa sama menyarankan penduduk kawasan tanah tinggi itu membina kolam atau telaga air khas (tube well) di kawasan berhampiran bangunan sekolah, pejabat dan sebagainya sebagai sumber utama air.
Katanya ia penting untuk saliran atau tujuan pemadaman api kerana sekiranya berlaku kejadian kebakaran, maka pasukan bomba sukarela ini dapat bergerak mencari sumber air seterusnya melakukan pemadaman awal.
“Apabila berlaku kebakaran di kawasan pedalaman Bario ini, maka pasukan bomba sukarela ini akan bertindak melakukan pemadaman kebakaran awal sementara menunggu pasukan bomba dari Miri,” katanya.
Hadir sama ialah Penolong Pengarah Operasi Negeri JBPM Sarawak Penguasa Kanan Bomba 1 Farhan Sufyan Borhan, Penguasa Kanan Bomba 1 Law Poh Kiong, Pegawai Daerah Telang Usan Baru Tai, Penghulu Bario Robertson Bala serta pegawai-pegawai JBPM yang lain. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA