Ketua Kumpulan Militan ‘Mujahidin Timur’ Diberkas


JAKARTA : Pasukan keselamatan Indonesia semalam memberkas anggota sebuah kumpulan yang berkait IS yang pernah diketuai salah seorang militan paling dikehendaki, menurut polis.

Muhammad Basri dari Mujahidin Indonesia Timur (MIT) ditangkap dalam operasi bersama polis dan tentera di daerah Poso di Sulawesi, sementara seorang lagi ahli kumpulan itu ditembak mati.

“Dia ditangkap di persisiran selatan Poso pagi ini,” kata jurucakap polis Boy Rafli Amar kepada AFP semalam.

Menurutnya, Basri kini dipindahkan ke bandar berdekatan.

Penangkapan itu selang 2 bulan selepas Santoso – penyokong IS dan orang paling dikehendaki di Indonesia yang mengetuai MIT – ditembak mati tentera selepas bertahun-tahun diburu.

Kematiannya disifatkan kejayaan besar bagi pihak berkuasa di negara dengan penduduk Islam teramai itu.

Santoso dan kumpulannya bertanggungjawab dalam siri serangan ke atas pasukan keselamatan dan pernah melatih militan dari rantau itu.

Basri merupakan timbalan ketua MIT yang bertahun-tahun bersembunyi di kawasan hutan Sulawesi, tetapi kini hanya mempunyai sebilangan kecil pengikut.

Beliau dikatakan mengambil alih tugas Santoso tetapi tidak jelas sama ada beliau kini memimpin MIT.

Pihak berkuasa Indonesia melancarkan operasi besar-besaran susulan serangan pelampau di awal 2000 termasuk di Bali yang meragut nyawa lebih 200 orang pada 2002.

Santoso berkali-kali berjaya membolos diri, dan militan berambut panjang yang sentiasa mengepit senapang itu beberapa kali tampil dalam rakaman video menyeru pelampau melancarkan serangan. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA