Kes Zika Pertama Di Sarawak


Sebuah akhbar tempatan semalam melaporkan dua kes jangkitan zika melibatkan dua adik-beradik, seorang di Miri dan seorang lagi di Kuala Lumpur telah dikesan positif virus tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata berikutan kes tersebut sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam kes dilaporkan di negara ini.

Menurut Subramaniam, kes kelima melibatkan wanita berumur 35 tahun yang hamil dua bulan di Miri, dan pernah bekerja di Singapura sebelum ini.

"Kali terakhir wanita itu melawat Singapura selama enam hari iaitu antara 24 hingga 29 Julai", katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pesakit itu telah ke klinik swasta di Miri pada 6 Sept lepas kerana mengalami demam yang berpanjangan dan selesema serta sakit tekak.

"Keputusan ujian Zika yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur dan di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menunjukkan keputusan adalah positif untuk Zika," katanya.

Dr Subramaniam berkata pesakit itu telah dimasukkan ke hospital di Miri pada Ahad lepas untuk pemeriksaan lanjut.

Bagaimanapun kesemua enam ahli keluarga yang tinggal serumah dengannya tiada tanda-tanda jangkitan Zika.

Beliau berkata, pesakit kes keenam merupakan kakak kepada kes kelima yang berumur 39 tahun dan menetap di Setapak, Kuala Lumpur dan telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur, 11 September lalu.

Dr Subramaniam berkata, wanita berkenaan pernah mengunjungi adiknya di Miri, 26 Ogos lalu dan pulang ke Kuala Lumpur pada 6 September.

Sementara itu, memetik laporan UtusanBorneo, Kementerian Kesiha­tan Awam Sarawak setakat ini belum menerima laporan jangkitan virus Zika di Miri

Menteri Mudanya Datuk Dr Jerip Susil berkata, beliau belum menerima maklumat jangkitan wabak tersebut dan menganggap ia hanya khabar angin berlegar dalam media sosial.

“Saya belum dimaklumkan terdapat jangkitan itu, justeru saya tidak dapat mengulas lanjut,” katanya ketika di­hubungi semalam.- Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA