Kes Zika : Penduduk Masih Belum Panik


Singapura: Kehidupan penduduk di Aljunied Crescent, pusat penyebaran wabak Zika di Singapura masih berjalan seperti biasa walaupun jumlah jangkitan virus berkenaan meningkat mendadak dalam tempoh beberapa hari.

Singapura kelmarin mengumumkan jumlah jangkitan wabak itu meningkat kepada 115 kes, empat hari selepas seorang wanita disahkan sebagai kes jangkitan tempatan pertama di negara itu.

Kehidupan majoriti penduduk di Aljunied Crescent masih berjalan seperti biasa, tetapi mula mengurangkan aktiviti di luar rumah.


Seorang suri rumah yang mengandung anak kelima, Sulaiha Ngatiman, 30, berkata, dia jarang berada di luar rumah dan sentiasa memasang ubat penghalau nyamuk di kediamannya.

“Saya sangat bimbang kerana membaca tanda jangkitan Zika yang sukar dikesan.

“Semua ibu mahukan anak mereka sihat. Saya akan berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan,” katanya yang kini hamil tujuh bulan.

Virus bawaan nyamuk aedes berkenaan hanya menyebabkan demam atau ruam tetapi pada wanita mengandung ia boleh mengakibatkan kecacatan pada otak bayi.

Beberapa pemilik kedai runcit di kawasan itu memberitahu, permintaan ubat nyamuk dan tampalan, penyembur serta alat penghalau serangga meningkat mendadak.

“Semua lingkaran ubat nyamuk di kedai saya habis dijual. Ramai pelanggan juga mahu membeli tampalan dan ubat penghalau serangga lain tetapi juga kehabisan stok,” kata seorang peniaga, Haranachia Mansoor.

Walaupun jangkitan meningkat, kehidupan kebanyakan penduduk di kawasan itu masih berjalan seperti biasa.

“Ramai yang tinggal di sini golongan tua dan tidak ramai wanita mengandung sebenarnya.

“Pegawai kerajaan datang setiap masa untuk membuat pemeriksaan dan kami tidak perlu berasa panik,” kata seorang penduduk, Chew Ah Gek, 72. - AFP

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA