Kes Sosilawati: Pendengaran Rayuan Bermula 31 Oktober



PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menetapkan pendengaran rayuan empat lelaki yang didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga pembantunya, selama tujuh hari bermula 31 Oktober depan.

Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili seorang daripada perayu, R. Matan mengesahkan tarikh pendengaran rayuan anak guamnya ditetapkan dari 31 Oktober hingga 8 November, kecuali pada hujung minggu.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan semasa prosiding pengurusan kes yang lepas di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, pada 9 Jun tahun ini.

Bekas peguam, N.Pathmanabhan dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, Matan, dan R.Kathavarayan dijatuhi hukuman mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 Mei 2013, kerana membunuh Sosilawati, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32 dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didapati bersalah melakukan jenayah itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat antara pukul 8.30 malam hingga 9.45 malam pada 30 Ogos, 2010.

Sosilawati dan tiga pembantunya dilaporkan hilang selepas mereka didakwa pergi ke Banting atas urusan tanah. Pathmanabhan, 46 dan pekerja ladang T. Thilaiyalagan, 24, Matan, 25, dan R. Kathavarayan, 36, gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan pada 4 Disember lalu.

Seorang daripada anggota panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat berkata rayuan keempat-empat perayu ditolak kerana terdapat bukti langsung menunjukkan Sosilawati dan pembantunya berada di ladang milik Pathmanabhan yang merupakan lokasi pembunuhan.

Proseding yang bermula 31 Oktober depan itu adalah rayuan terakhir mereka di Mahkamah Persekutuan. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA