Kes Bunuh Bill Kayong Disebut Semula 28 Okt


Mahkamah Majistret Miri menetapkan 28 Okt bagi sebutan semula kes pembunuhan Setiausaha PKR Miri Bill Kayong pada 21 Jun tahun lepas yang dihadapi tiga tertuduh.

Majistret Lovely Natasha Charles membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pendakwaan masih menunggu laporan kimia.

Ketiga-tiga tertuduh Mohamad Fitri Pauzi, 29, Lie Chang Loong, 39, dan Chin Wui Chung, 50, mengangguk faham ketika jurubahasa mahkamah memaklumkan kepada mereka bahawa kes itu ditetapkan untuk semula semula pada 28 Okt.

Fitri, seorang pengawal kelab malam atau 'bouncer', didakwa pada 15 Julai atas pembunuhan Bill Kayong di persimpangan lampu isyarat berhampiran E-Mart Supermarket, Jalan Miri-Bintulu pada 8.20 pagi, 21 Jun.

Dia berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lie, pemilik pub, juga didakwa pada 15 Julai, bersubahat dengan Mohamad Fitri, bersama-sama dengan Chin dan Datuk Lee Chee Kiang, 45, yang masih bebas, mengikut Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 11 Ogos lepas, polis Sarawak mengumumkan telah memohon bantuan Interpol untuk memburu Datuk Stephen Lee Chee Kiang yang dipercayai dalang pembunuhan itu selepas dia pergi ke Melbourne, Australia pada 3 Julai dari Singapura.

Sementara itu di luar mahkamah, peguam Abun Sui yang mewakili keluarga Bill Kayong, berkata beliau telah menghantar surat kepada Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur untuk mengetahui lokasi semasa Lee dan kewarganegaraannya.

Abun berkata keluarga mangsa mahu kerajaan Australia mengesahkan sama ada tertuduh tiba di Australia selepas pembunuhan itu berlaku.

"Kami dengar banyak khabar angin bahawa Lee memegang taraf Penduduk Tetap di Australia, kami juga inginkan maklumat tentang perkara itu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA