Kerjasama Wakil Rakyat Dan Kaunselor, Pacu Pembangunan


KUCHING: Kerjasama antara wakil rakyat dan kaunselor pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini amat perlu dalam usaha menyelesaikan masalah dan membangunkan kawasan masing-masing, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan menyediakan peruntukan PBT dan program transformasi bandar (RTP) menerusi wakil rakyat dalam aspek pembangunan sesuatu kawasan.

"Kaunselor perlu bekerjasama dengan wakil rakyat khasnya Barisan Nasional (BN). Usaha ini penting bagi memastikan pembangunan di sesuatu kawasan berjalan lancar," katanya pada sidang media selepas perjumpaan ahli majlis PBB di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, beliau turut memberi pandangan kepada kaunselor mengenai proses pelaksanaan projek untuk memastikan Kuching menjadi bandar sihat dan meriah.

Bagaimanapun menurutnya beberapa perkara perlu diberi perhatian termasuk di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) terutama melibatkan pembangunan infrastruktur di Kampung Tabuan Melayu selain mengelak daripada pembiakan nyamuk aedes.

"Ini peranan mereka untuk menjalankan tugas membangunkan kawasan kerana kerajaan berhasrat membangunankan Kampung Tabuan Melayu dan Kampung Tabuan Dayak," ujarnya.

Untuk tujuan pembangunan semula itu jelasnya, kerajaan menyediakan rumah mampu milik berhampiran Kampung Tanjong Bako untuk manfaat generasi kedua kampung terbabit.

"Kampung sediakan perlu dibersihkan dan diperindahkan dan semua pihak harus bekerjasama dengan agensi kerajaan yang terbabit," jelasnya.

Berbeza dengan kawasan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara tambahnya, isu berkaitan dengan peningkatan restoran atau premis makanan.

"Kita tidak menghalang pembukaan restoran atau premis makanan namun pengusaha perlu mematuhi peruntukan undang-undang," katanya lagi. -Sarawakiana.










No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA