Kereta curi Malaysia diseludup sehingga ke Myanmar, Laos dan Kemboja


BANGKOK: Bukan sekadar dijual di pasaran gelap Thailand, tetapi sindiket kereta curi di Malaysia turut menyeludup kereta terbabit untuk dijual di pasaran gelap negara di Indo-China seperti Myanmar, Laos dan Kemboja.

Sumber keselamatan yang mendedahkan modus operandi sindiket itu berkata, apabila kereta curi Malaysia itu tiba di negara seperti Myanmar, Laos dan Kemboja maka peluang untuk menemuinya semula adalah amat tipis.

Sindiket curi kereta di Malaysia, Thailand dan di negara Indo-China berkenaan mempunyai jaringan kerjasama sesama mereka yang menyukarkan pihak berkuasa untuk menangani jenayah rentas sempadan itu.

"Selepas sindiket curi kereta mencuri kenderaan terbabit di Malaysia, mereka kemudiannya akan menyeludup keluar kereta itu ke pelabuhan di Singapura menggunakan kapal kontena.

"Dari pelabuhan di Singapura, kapal kontena bermuatan kereta curi Malaysia itu akan ke belayar pula ke pelabuhan di Thailand dengan pelabuhan Laem Chabang dipercayai destinasi utama mereka," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bergantung kepada keadaan, sebahagian daripada muatan kereta curi itu akan diturunkan di Thailand untuk dijual di pasaran gelap negara jiran itu, menurut sumber berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, satu daripada cara paling terkini dan popular untuk menjual atau 'melupus' kereta curi Malaysia di Thailand adalah menerusi laman web menjual kereta.

"Trend terkini adalah untuk menjualnya secara online sahaja," katanya.

Awal bulan ini pihak polis Thai menyerahkan 22 kereta curi Malaysia bernilai RM2.2 juta yang ditemukan di negara ini kepada Polis Malaysia.

Jika tidak dijual di pasaran gelap di Thailand, terdapat juga kemungkinan kereta curi Malaysia itu yang telah diturunkan di pelabuhan di Thailand, diseludup ke negara sekitar menggunakan jalan darat.

Thailand berkongsi sempadan darat dengan tiga negara Indo-China iaitu, Myanmar, Laos dan Kemboja, kemungkinan destinasi terakhir bagi kenderaan yang dicuri di Malaysia itu, katanya.

"Jikalau kereta curi Malaysia ini sampai ke negara-negara ini, peluang untuk menemukannya semula adalah umpama kosong," katanya dan menambah, maklumat tentang kereta curi Malaysia di ketiga-tiga negara Indo-China itu juga sukar diperoleh.

Bagi sebahagian daripada kereta curi Malaysia yang tidak diturunkan oleh kapal kontena yang berlabuh di pelabuhan Thailand itu, ia akan meneruskan pelayarannya ke Myanmar atau negara Indo-China yang lain, menurutnya.

Tahun lepas, pihak berkuasa Thailand berjaya merampas 18 kereta mewah dipercayai menjadi mangsa kepada sindiket curi kereta Malaysia di pelabuhan Laem Chabang, katanya.

Menurut sumber, 18 kereta mewah yang ditemukan itu adalah sebahagian daripada 43 kereta mewah Malaysia yang dibawa masuk ke Thailand menggunakan kapal kontena dari pelabuhan di Singapura.
"Bagaimanapun, 25 kereta mewah dari Malaysia yang turut berada di kapal itu itu gagal dikesan sehingga kini," kata beliau.

Beberapa tahun lepas, beberapa kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dipercayai dicuri di Malaysia berjaya ditemukan dan digunakan oleh pemilik barunya di kawasan sempadan Myanmar-Thai, di Kemboja serta di Laos, katanya.

Beliau berkata kenderaan curi pacuan empat roda (4WD) amat popular di pasaran gelap di Myanmar, manakala kereta serta MPV mewah pula amat digemari oleh pelanggan pasaran gelap di Kemboja.

Terdapat juga dakwaan mengatakan kereta curi Malaysia itu kini digunakan oleh pegawai-pegawai tinggi polis dan tentera serta kerajaan di negara Indo-China tertentu menggunakan pendaftaran baharu. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA