Kerajaan Negeri Tidak Akan Benar Pemaju Beri Pinjaman Perumahan


KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak sependapat dengan kenyataan umum yang dikeluarkan oleh Bank Negara pada 21 September lalu, dimana idea membenarkan pemaju perumahan swasta memberi pinjaman perumahan kepada pembeli akan menyebabkan peningkatan hutang isi rumah dan memberi banyak kesan negatif ke atas ekonomi negara.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perumahan dan Urbanisasi Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata demikian pada sidang media disini hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan menerima pakai idea daripada kementerian berkenaan yang membenarkan pemaju swasta memberi pinjaman kepada pembeli kerana ia akan membawa banyak kesan negatif terhadap peminjam yang secara langsung akan turut memburukkan keadaan ekonomi negara,

“Krisis seperti ini pernah berlaku di Negara Amerika pada tahun 2008 dan kita perlu mengelakkannya daripada berlaku di negara kita.

“Seperti yang dinyatakan oleh Bank Negara, isu pokok yang harus kita tangani ialah kemampuan dan kekurangan bekalan rumah pada harga yang munasabah,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan akan terus melipat gandakan usaha melaksanakan inisiatif perumahan seperti Projek PR1MA, Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia, Skim Rumah Mesra Rakyat dan program MyHome,

Beliau menambah, pihak Kerajaan Negeri mahu pemaju perumahan membina lebih banyak rumah mampu milik dibawah Skim Perumahan Khas Rakyat (SPEKTRA) bagi membantu mengurangkan kadar penawaran dan permintaan semasa yang sekaligus akan memberi sumbangan kepada penurunan harga rumah. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA