Kerajaan Negeri Rancang Bangunkan Semula Tabuan Melayu Dan Tabuan Dayak


KUCHING: Kerajaan negeri merancang membangunkan semula kawasan perkampungan Tabuan Melayu dan Tabuan Dayak termasuk kawasan baharu di Tanjung Bako dekat sini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata cadangan projek pembangunan semula itu akan dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) menerusi Kementerian Perumahan dan Urbanisasi.

“Kita akan membangunkan satu kawasan perumahan baharu di situ yang akan dilaksanakan oleh kementerian saya dan PELITA.

“Bermakna, generasi kedua penduduk Kampung Tabuan, boleh membeli rumah mampu milik di kawasan yang bakal dibangunkan,” katanya sambil menambah, usaha itu amat memerlukan kerjasama daripada Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan ahli Majlis MBKS, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Wisma Sultan Tengah dekat sini semalam.

Abang Johari yang juga timbalan presiden PBB berkata sementara itu kawasan kampung-kampung tersebut hendaklah dibersihkan bagi memastikan bandar raya Kuching khususnya di bawah bidang kuasa MBKS menjadi kawasan yang bersih dan ‘vibrant’.

“Maknanya ahli majlis MBKS daripada PBB harus memainkan peranan penting kerana majoriti penduduk tinggal di kawasan-kawasan berkenaan adalah Bumiputera.

“Ahli majlis PBB boleh membawa ahli majlis yang lain, yang bukan Bumiputera bersama-sama menjalankan tugas membangunkan kawasan-kawasan ini,” katanya.

Mengenai mesyuarat itu, Abang Johari berkata beberapa perkara dibangkitkan ialah peranan harus dimainkan ahli majlis daripada PBB untuk membantu dari sudut pelaksanaan beberapa portfolio diberikan kepada mereka dalam MBKS, DBKU dan MPP.

Dalam mesyuarat itu juga katanya, ahli majlis daripada PBB dinasihati agar melaksanakan tugas masing-masing dalam lingkungan Barisan Barisan Nasional (BN) dan keutamaan diberikan kepada bidang kerja dari sudut organisasi serta masalah sosial di kawasan masing-masing.

“Saya juga memaklumkan kepada mereka, iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan masing-masing juga memainkan peranan dan kerja antara mereka sangat penting.

“ADUN dan ahli majlis hendaklah menyelesaikan masalah serta membangunkan kawasan masing-masing dengan peruntukan sedia ada daripada kerajaan iaitu peruntukan di bawah pihak berkuasa tempatan dan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP),” jelasnya.

Hadir sama Timbalan Pengerusi MPP Datuk Ahmad Ibrahim, Timbalan Datuk Bandar MBKS Hilmy Othman dan Ahli Majlis DBKU Irwan Zulkarnain Muhammad Hasbie serta semua ahli majlis daripada PBB di MBKS, DBKU dan MPP. - UB

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA