Kerajaan Negeri Berusaha Tambah Jumlah Guru 'Anak Sarawak'


Kerajaan negeri Sarawak akan cuba berusaha menambahkan jumlah guru tempatan untuk mengajar di dalam sekolah negeri itu.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem berkata, selain memerlukan guru tempatan, Kerajaan Negeri Sarawak juga telah cuba memohon pelbagai bantuan untuk menaik taraf kemudahan sekolah daripada kerajaan pusat, namun sehingga hari ini ia masih belum mencukupi.

Menurutnya, beliau boleh menerima hakikat kalau pembangunan di Sarawak ketinggalan 10 hingga 20 tahun berbanding dengan Semenanjung, tetapi sekiranya ketinggalan 50 tahun, ia sesuatu yang tidak boleh bertolak ansur lagi.

“Saya mahu memastikan semua sekolah di Sarawak dipenuhi kelengkapan sempurna. Jangan ada lagi sekolah yang tak ada bekalan air, elektrik, terlibat dalam kebakaran dan sebagainya,” katanya seperti yang dipetik oleh Sin Chew Jit Poh.

Adenan berkata demikian pada pelancaran kamus ‘Comprehensive Iban-English Dictionary’ setebal 1,890 muka surat di Kuching, kelmarin.

Mengenai penggunaan bahasa Iban, Ketua Menteri Sarawak itu berkata, bahasa Iban masih banyak digunakan secara meluas di Sarawak berbanding bahasa-bahasa suku kaum lain disebabkan kaum Iban cukup mengambil berat terhadap bahasa mereka.

Katanya, semua kumpulan etnik di Sarawak digalakkan untuk mengamalkan, memulihara, menghidupkan dan memperkaya bahasa masing-masing bagi memastikan ia tidak lenyap ditelan zaman.

“Kita di Sarawak percaya akan kesepaduan dalam kepelbagaian. Harap bahasa Iban akan terus dipertahankan,” katanya.


Cina diminta lahir ramai anak

Kedudukan dan pengaruh politik kaum Cina di negara kita pada masa hadapan kemungkinan akan terjejas berikutan jumlah penduduk kaum itu menunjukkan penurunan sejak kemerdekaan.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia, Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, sekiranya jumlah penduduk Cina terus menurun, ia pastinya akan mempengaruhi pembangunan dalam pelbagai sektor dan juga dari segi kekuatan politik kaum Cina di negara kita.

Menurutnya, pada 1957, jumlah peratus kaum Cina di Semenanjung Malaysia ialah 38 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia. Ia kemudian menurun kepada 24.57 peratus pada 2010 dan catatan terbaru pada tahun ini menunjukkan ia turun hanya tinggal 23.4 peratus iaitu sebanyak 6,645,600 orang.

“Mengikut kajian, dalam sebuah keluarga kaum Cina sekurang-kurangnya perlu mempunyai tiga orang anak bagi mengekalkan jumlah yang sedia ada pada hari ini. Jika tidak, kaum Cina di negara kita akan menurun antara dua hingga 2.5 peratus setiap 10 tahun dalam tempoh 30 hingga 40 tahun akan datang,” kata Pheng dalam satu kenyataan seperti yang dipetik dalam China Press.

Menurut beliau, antara punca utama penurunan jumlah penduduk kaum Cina termasuklah kahwin lewat, berhijrah ke luar negara, lambat melahirkan zuriat dan sebagainya.

“Dari segi masa panjang, bagi pasangan suami isteri yang muda, mereka perlu bersikap optimis dengan melahir dan mendidik anak-anak yang lebih ramai demi menghadapi cabaran pada masa hadapan,” katanya.


Rakyat China buka restoran halal

Seorang rakyat China tidak menyangka percubaannya membuka restoran halal di Kota Bharu, Kelantan, membawa hasil apabila menerima sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Berasal dari LinXia, China, pemilik restoran ini, Ma Zhanchun, 45, mempunyai pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam bidang pemakanan.

Zhanchun yang juga beragama Islam kini mempunyai dua restoran di China, masing-masing di Yun Nan dan Ann Wei. Restoran yang terletak di Jalan Pintu Pong, Kota Bharu ini adalah restorannya yang pertama dibuka di luar China.

Mula dibuka sejak dua minggu lalu, restoran ini menghidangkan pelbagai masakan China, terutama sekali dari LinXia yang sememangnya cukup asing bagi orang-orang tempatan Kelantan.

Bagaimanapun, menurut Zhanchun, pelanggannya yang kebanyakan terdiri daripada orang-orang Islam tetap menggemari masakan halal yang dijualnya.

Zhanchun memberitahu, beliau tertarik datang ke Kota Bharu untuk memulakan perniagaan restoran ini setelah menyertai pameran makanan halal anjuran Kerajaan Negeri Kelantan tahun lalu. - SH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA