Kerajaan Ambil Tindakan Tegas Untuk Ubah Sistem Pengangkutan Awam


PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan kini mengambil tindakan tegas untuk menyiapkan apa yang belum dilakukan dan diberi tumpuan sebelum ini dalam memodenkan dan mentransformasi sistem pengangkutan awam Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberikan jaminan bahawa beliau akan terus memberikan perhatian penuh untuk membangunkan sistem pengangkutan yang modern, efisien, dipercayai dan selamat untuk penduduk di Lembah Klang dan di luarnya.

"Kesan daripada kesesakan lalu lintas yang melemaskan akan membuatkan bandar raya kurang ideal untuk didiami dan ini seterusnya menjadi kurang efektif bagi pelawat dan pelabur.

"Bandar raya lain di rantau ini sedang berusaha menjadikan mereka bertaraf dunia, kita juga tidak harus ketinggalan," katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah laluan Aliran Transit Massa (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) di tapak projek MRT Putrajaya Sentral, di sini Khamis.

"Kami mengambil tindakan tegas untuk menyiapkan apa yang belum dilakukan sebelum ini dan membetulkan segala kelemahan ekosistem pengangkutan awam kita," katanya.

Perdana menteri berkata laluan 52.2km panjang itu yang mempunyai 37 stesen, akan memendekkan masa perjalanan dari pusat pentadbiran kerajaan Putrajaya ke Kuala Lumpur kepada 30 minit. Najib berkata Laluan MRT SSP (Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) akan mempunyai persimpangan bertingkat di sepanjang laluannya dengan perkhidmatan rel yang ada seperti KTM Komuter, LRT, Monorel dan Express Rail Link serta akan dintegrasikan termasuk dengan Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura yang sedang dibangunkan.

"Dengan ini maka kita akan mewujudkan peluang dalam masa tidak berapa lama lagi, kita akan perlukan hanya 30 minit sahaja untuk ke KL dan jika kita mahu ke Singapura kita akan memerlukan hanya 90 minit sahaja.

"Ini semua bayangan Malaysia pada masa depan yang moden dan kita mesti pastikan bahawa segala projek seperti ini dapat disiapkan mengikut jadual dan mengikut bajet," katanya.

Najib menekankan akan pentingnya faktor kebolehpercayaan dalam sistem pengangkutan awam untuk memenuhi tahap kepuasan paling tinggi pengguna.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan Laluan MRT Sungai Buloh-Kajang (SBK) kerana berupaya menyiapkan projek itu menepati masa dan dalam lingkungan kos yang disasarkan.

Menurut kenyataan MRT Corp, fasa satu Laluan MRT SSP dari Sungai Buloh ke Kampung Batu dijangka beroperasi pada suku kedua 2021, sementara laluan itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2022.

Laluan MRT akan beroperasi dari Sungai Buloh ke Putrajaya melalui Kepong, Batu, Jalan Ipoh, Titiwangsa, KLCC, Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia, Sungai Besi, Serdang, UPM dan Cyberjaya.

Laluan itu akan mempunyai 12 persimpangan bertingkat yang disepadukan dengan perkhidmatan rel sedia ada serta stesen pertukaran di Bandar Malaysia Selatan bagi kereta api rel berkelajuan tinggi.

Sebaik beroperasi, Laluan MRT SSP dijangka mempunyai bilangan penumpang harian sebanyak 529,000 orang. - BERNAMA

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA