Kenyataan Chong Bersifat Hasutan, Anti-Persekutuan


KUCHING: Kenyataan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen supaya negeri Sarawak berhenti menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos adalah bersifat hasutan.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) Sarawak, Abdullah Saidol berkata, 31 Ogos memang bukan tarikh kemerdekaan untuk Sarawak tetapi sambutan itu dibuat atas semangat kebangsaan dan kenegaraan.

"Chong turut mendakwa kita di Sarawak terpaksa menyambut Hari Kebangsaan kerana tekanan kerajaan persekutuan.

"Ia sebenarnya politik mainan DAP yang paling merepek dan jijik," katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Chong mengeluarkan kenyataan menyeru Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menghentikan sambutan 31 Ogos di Sarawak kerana ia hanyalah tarikh Tanah Melayu mencapai kemerdekaan selain membazir dana awam untuk meraikannya.

Menurut Abdullah lagi, Adenan mengumumkan 22 Julai sebagai tarikh bersejarah untuk Sarawak sebagai tanda kebebasan dari pentadbiran British dan sambutan 16 September sebagai tarikh pembentukan Malaysia.

"Tiga tarikh penting tersebut berkait rapat dalam sejarah kebangkitan dan semangat nasionalisme di negara kita," ujarnya.

Beliau menambah, rakyat Malaysia sepatutnya meraikan tarikh keramat itu sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan pejuang terdahulu selain menanam semangat inklusif dan tolerasi sebagaimana meraikan perayaan keagamaan atau kebudayaan lain.

"Kenyataan Chong yang bersifat Anti-Persekutuan adalah untuk memenuhi agenda politik DAP  dan beliau (Chong) tidak memahami erti sebenar nasionalime," katanya. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA