Kejayaan Perlukan Pengorbanan - Pandelela

KUCHING: Semestinya setiap kejayaan memerlukan pengorbanan yang besar, apatah lagi usaha untuk mengangkat nama negara di mata dunia.

Ratu Acara Terjun Negara Pandelela Rinong berkata, beliau terpaksa berjauhan dari keluarga demi untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi.

"Saya tidak dibenarkan balik ke Kuching berjumpa keluarga semasa dalam latihan untuk ke Olimpik Rio.

"Malah pelajaran saya banyak yang tertangguh namun demi untuk negara, saya teruskan berlatih lebih gigih," katanya kepada media dalam Majlis Meraikan Ketibaan beliau di sini hari ini.

Beliau berkata amat terkejut apabila diumumkan menerima ganjaran begitu besar dari kerajaan Sarawak dan pihak swasta.

"Dengan ganjaran ini, saya akan jadikan ia sebagai motivasi untuk lebih gigih berusaha demi menaikan nama Sarawak dan Malaysia amnya dalam acara terjun pada masa hadapan.

"Saya berharap penganugerahan yang saya terima dapat memberi inspirasi kepada belia Sarawak untuk lebih maju dalam apa jua bidang," ujarnya.

Dalam majlis tersebut, Pandelela telah menerima RM500,000 dari Kerajaan Sarawak. RM100,000 daripada pihak swasta dan sebuah kondominium yang berharga RM700,000 daripada Tenaga Stabil Sdn Bhd. - Sarawakiana

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA