Kejayaan Lawatan Kerja Najib ke Jerman Bukti Dakwaan Tun M Meleset


KUALA LUMPUR - Kejayaan lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Jerman minggu ini membuktikan dakwaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah salah bahawa Malaysia sebuah negara yang gagal, tegas Pengarah Strategi Komunikasi Barisan Nasional, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, ia mungkin Dr Mahathir mahu menutup malu kerana pengaruhnya kini telah merosot.

"Bukan hanya dengan membandingkan perdana menteri kita dan lain-lain dalam kerajaan dengan Nazi, tetapi berbuat demikian semasa perdana menteri berada di Jerman," katanya dalam satu kenyataan semalam

Abdul Rahman berkata, Jerman telah menebus masa lalu dan membinanya menjadi sebuah negara demokrasi yang menjadi contoh kepada begitu banyak negara dan adalah satu perbuatan salah untuk memburukkan sesebuah negara dan membangkitkan sejarah pahit itu hanya semata-mata untuk meraih keuntungan bagi kepentingan diri sendiri dalam politik.

Abdul Rahman menegaskan Dr Mahathir sekali lagi menunjukkan beliau bukan seorang negarawan.

Menurutnya, kenyataan Dr Mahathir semakin terdesak dan tidak waras dan ia sesuatu yang memalukan untuk melihat seorang bekas perdana menteri memusnahkan legasinya.

Beliau berkata, Dr Mahathir telah menyebabkan rasa meluat dan bersalah di Jerman, yang mana pada tahun lepas merupakan pelabur terbesar Eropah di Malaysia dengan jumlah pelaburan Jerman mencecah US$11.4 bilion.

"Sebaliknya, Perdana Menteri kita menjadi tetamu kehormat Canselor Angela Merkel, yang berjuang untuk meningkatkan kepentingan ekonomi dan keselamatan Malaysia dan rakyatnya," katanya. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA