KDN wartakan larangan 4 penerbitan



PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan Perintah Larangan melalui Warta Kerajaan bertarikh 14 Jun lalu terhadap empat penerbitan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim, berkata ia membabitkan `Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib'; `Malaysia and The Club Of Doom: The Collapse Of The Islamic Countries'; `Torture In Malaysia Prisons: Who You Didn't Know and Need To Know To Act' dan `The Koran: A Very Short Introduction.'

"Perintah ini menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pekeliling atau pemilikan hasil penerbitan ini adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.

"Kandungan keempat-empat penerbitan terbabit mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan kepentingan awam, berlawanan dengan mana-mana undang-undang atau memudaratkan kepentingan negara.

"Mana-mana orang yang mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki hasil penerbitan larangan itu dianggap melakukan kesalahan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, mereka yang disabitkan dengan kesalahan berkenaan boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau didenda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 8 (2) Akta 301.

Alwi berkata, tiga daripada empat penerbitan terbabit didapati mengandungi unsur mengelirukan dan boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan dan amalan agama Islam di negara ini atau bertentangan dengan ajaran serta akidah Islam sebenar mengikut mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Katanya, sebuah lagi penerbitan dikesan mengandungi fakta tidak benar dan boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap institusi keselamatan di negara ini.

Orang ramai yang mengesan penerbitan melanggar undang-undang negara diedarkan di pasaran, boleh mengadu kepada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, KDN di talian 03-88868047 atau faksimili 03-88891682 atau melalui Sistem Pengaduan Awam Bersepadu KDN di laman sesawang http://moha.spab.gov.my.-BH

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA