KDN, Jabatan Imigresen beri keterangan kepada PAC

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen Malaysia hari ini memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung beberapa isu dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2015 Siri 1, berkaitan pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).

Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin berkata hadir pada prosiding yang bermula 11 pagi dan berakhir 1.30 tengah hari itu ialah Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Alwi Ibrahim; Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Imigresen, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

"PAC berpuas hati dengan penjelasan serta penerangan yang diberikan KDN dan Jabatan Imigresen terhadap isu yang dibangkitkan dalam LKAN Tahun 2015 Siri 1.

"Bagaimanapun, PAC mahu kerajaan khususnya KDN dan Jabatan Imigresen memastikan semua sistem yang dibangun dan digunakan benar-benar dapat diintegrasikan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhannya, Hasan berkata sistem myIMMs adalah baik dan telah memenangi banyak anugerah di dalam dan luar negara berhubung pencapaian dan pelaksanaannya.

PAC juga berpandangan bahawa sistem myIMMS tidak perlu ditukar tetapi ditambah baik berdasarkan keperluan semasa bagi memudahkan pegawai dan kakitangan JIM untuk lebih mahir mengendalikannya.

"Selain itu, adalah amat penting Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dibabitkan secara langsung dalam setiap aspek perancangan dan pelaksanaan sistem teknologi maklumat JIM," kata Hasan.

Menurut kenyataan itu, MAMPU juga diminta sentiasa memantau dan memberi input serta cadangan dalam menambah baik myIMMs supaya sistem itu berada pada tahap terkini selain memastikan jaminan keselamatan negara terkawal. - Bernama

No comments:

| | Copyright © 2014 SARAWAKIANA